Tiada Istilah Pintu Belakang dalam Proses Kemasukan Pelajar Universiti Awan – JKNCR UA
FOTO BERITA: Sidang Media Khas Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR UA) berkenaan kemasukan pelajar ke Universiti di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur. 25hb Disember 2024 (Rabu)
Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR UA) menyangkal penuh dakwaan berunsur fitnah yang dibuat oleh YB Dr Haim Hilman Abdullah yang tular berkaitan kemasukan pelajar ke Universiti Awam yang kononnya menggunakan ‘pintu belakang’, sekaligus menafikan hak anak-anak dari keluarga kurang berkemampuan untuk menyambung pengajian di IPTA. Dakwaan ini jelas mencerminkan sifat tidak bertanggungjawab beliau yang hanya mahu mengelirukan masyarakat serta menimbulkan kontroversi yang tidak berasas.
Pengambilan pelajar ke Universiti Awam Malaysia dibuat secara telus, melalui sistem tapisan dan saringan ketat serta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan. JKNCR UA ingin menegaskan bahawa kaedah ‘pintu belakang’ sama sekali tidak pernah wujud dalam proses kemasukan pelajar ke mana-mana Universiti Awam
di Malaysia
Jumlah kemasukan pelajar ke Universiti Awam melalui saluran arus perdana juga tidak pernah dikurangkan, justeru, tidak ada isu pengambilan kuota pelajar miskin untuk tujuan penjanaan pendapatan. Pengambilan pelajar adalah mengikut kaedah ‘over dan above’, yakni kuota arus perdana dipenuhkan dahulu sebelum proses pengambilan di buka semula kepada calon yang membuat rayuan. Saluran perdana dibuka dengan subsidi kerajaan manakala saluran komersial dibuka tanpa subsidi kerajaan. Saluran perdana mengambil sebahagian besar pelajar B40 manakala saluran komersial mengambil pelajar dalam kalangan keluarga T20 dan antarabangsa.
Kutipan yuran yang dibuat melalui saluran komersial ini digunakan oleh universiti untuk membangunkan fasiliti pengajaran dan pembelajaran serta kemudahan penginapan pelajar. Semua kemudahan ini diguna secara sama rata oleh semua pelajar termasuk dari saluran perdana juga. Mengaitkan saluran komersial dengan perampasan tempat B40 mengambarkan kecelaruan dalam kefahaman terhadap tujuan diwujudkan saluran komersial ini. Tidak mungkin YB ini yang juga merupakan mantan Naib Canselor UUM tidak faham akan tujuan saluran komersial dan bagaimana ianya dilaksanakan sedangkan saluran terbuka atau komersial telah wujud di UUM semasa beliau menjawat jawatan tersebut.
Dakwaan beliau berkaitan dengan pengambilan pelajar antarabangsa juga merupakan fitnah. Malaysia sebagai satu hab Pendidikan Tinggi telah diiktiraf oleh banyak negara dan menjadi pilihan pelajar luar negara. Kita sama sekali tidak berkompromi dengan kriteria kemasukan, malah kita berikan peluang meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi melalui program dalaman universiti.