Kenaikan tarif elektrik, jangan sampai rakyat terjejas – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa peningkatan kadar tarif elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad tidak boleh sama sekali menjejaskan majoriti rakyat Malaysia.

“Kita tidak benarkan kenaikan elektrik yang menjejaskan orang ramai. Kenaikan seperti mana yang dulu itu hanya melibatkan golongan atasan yang saya sebut mahakaya, atau pun industri yang mencatat keuntungan,” kata Anwar.

“Rakyat terbanyak tidak terkesan dari kenaikan elektrik, walaupun saya faham kos meningkat.

“Walaupun kos meningkat, tidak boleh menjejaskan kedudukan majoriti rakyat. Ini dari segi dasar (Kerajaan). Saya faham keperluan naik, tapi kenaikan tidak boleh melibatkan kedudukan kos kepada majoriti rakyat.

“Secara terperincinya, TNB dan TPM Dato’ Sri Fadillah (Yusof) akan menjelaskan,” katanya merujuk kepada Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Pagi tadi ketua pegawai kewangan TNB Datuk Nazmi Othman dilaporkan berkata bahawa kerajaan belum memutuskan berkenaan cadangan kenaikan tarif elektrik sebanyak 14 peratus.

Â