Hadi pertahan kempen derma jihad

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan kempen derma jihad yang dilancarkan untuk membantu Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad melunaskan bayaran denda RM825,000 kepada pimpinan DAP.

Dalam tulisannya di Harakah Daily, beliau mendakwa bahawa Jemaah Islam memikul kesalahan ahlinya dan itulah prinsip yang digunakan oleh Pas.

Hadi tidak menyebut secara langsung nama Siti Mastura.

Sebaliknya, Hadi mengambil teladan tindakan Rasulullah SAW mengambil tanggungjawab bila panglimanya Khalid al-Walid membuat kesalahan membunuh tawanan perang.

“Janganlah didengari syaitan yang bersuara, khususnya kalangan yang berwala’ kepada DAP kerana akan merosakkan wajah Islam laksana kera merosakkan bunga yang cantik.

“Begitulah PAS mengambil tanggungjawab atas ketelanjuran ahlinya yang membuat apa-apa tindakan yang salah, sehingga dihukum dengan bayaran atau denda.

“Walau bagaimanapun, PAS tetap beristiqamah bersama aqidah perjuangannya dan percaya kepada keampunan Allah dan pahala bertaubat. Inilah perkara yang tidak terdapat dalam perjuangan yang lain selain daripada perjuangan Islam.”

Kegagalan Siti Mastura untuk melunaskan denda selepas didapati bersalah memfitnah itu boleh menyebabkan beliau hilang kelayakan menjadi ahli parlimen.

Banyak pihak sudahpun menyoal kewajaran Pas melaksanakan kempen derma jihad.

Â