Mohon pengampunan untuk Najib menerusi Lembaga Pengampunan, titah Agong

Semua permohonan pengampunan kesalahan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, umum Jabatan Peguam Negara hari ini.

“Kamar ini telah dititahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memaklumkan bahawa semua permohonan mengenai pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut tatacara dan saluran yang telah ditetapkan di bawah undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain.”

Jabatan Peguam Negara turut menasihatkan pihak-pihak yang ingin memohon hukuman tahanan dalam rumah turut berbuat demikian.

“Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan termasuk Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak menghabiskan baki tempoh hukumannya dengan ditahan di rumahnya, permohonan berkenaan perkara tersebut hendaklah dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut tatacara dan saluran yang telah ditetapkan di bawah undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.”

Yang di-Pertuan Agong berkuasa mengampun, menunda hukuman dan sebagainya di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, pendengaran permohonan berkenaan keberadaan perintah Agong (addendum) terdahulu, Sultan Abdullah dalam kes Najib dijadualkan berlangsung pada 6 Januari.

Pas dijangka akan turut menyertai himpunan sokongan kepada Najib pada hari tersebut.