‘Kantoi’ cecah hampir RM200,000, pengarah syarikat Musang Durian ini diheret ke mahkamah

Individu bergelar Datuk yang juga pengarah syarikat menjual produk berasaskan durian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Dia didakwa atas pertuduhan pecah amanah wang syarikatnya berjumlah RM195,401 pada 2022.

Datuk John Lee Siew Neng, 59, didakwa sebagai pengarah syarikat Musang Durian Frozen Food (M) Sdn Bhd yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan syarikat.

Dia dilapor mengeluarkan wang syarikat itu berjumlah RM195,401 di Taman Perindustrian Kip, Sentul antara 24 Februari hingga 25 Ogos 2022.

John Lee didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pengarah syarikat itu mengaku tidak bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd Razak tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Walau bagaimanapun, jika mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam, Aida Jaafar Mad Ariff yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga dan perniagaannya kurang stabil.

Lapor Bernama, Hakim Siti Aminah Ghazali membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Beliau turut menetapkan 17 Februari tahun depan untuk sebutan kes.

BACA JUGA Tular cucu pemimpin SG4 teruja sambut Krismas

Â