Pemimpin Pas sembang pasal ‘Nyior Ko Meng’
Tahap pemimpin pembangkang terus mengundang persoalan orang ramai apabila Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Azman Ibrahim tampil mengulas tentang ‘Nyior Ko Meng’.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Terengganu itu dilihat secara sinis bercerita tentang kelapa komeng iaitu kelapa yang tebal sabutnya dan nipis atau tiada isinya.
“Nyior Komeng maknanya buah nyior yang tak ada isi. Potong sikit sabut boleh buat bantal.
“Orang ngaji zaman dulu buat bantal dengan buah nyior komeng saja. Tidur tak berapa lena jadi boleh bangun baca kitab,” tulisnya hari ini di platform X.
Kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu itu dilihat berbaur sinis.
Menerusi satu hantaran malam tadi, Azman menegaskan Pas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kerana menuduh parti dikepalai Tan Sri Abdul Hadi Awang itu sebagai “sesat, menyebarkan ajaran sesat, menunggang agama, merosakkan keharmonian masyarakat dan menyekat sambutan Krismas.”
Meninjau deretan komentar, rata-rata mengecam pemimpin berkenaan dan Pas sebagai tidak matang dalam berpolitik serta menampakkan kualiti rendah ‘lebai Pas’.
Pengguna X, @josephlimch berpendapat bukan satu taktik yang bijak dan professional apabila seorang ahli politik dan memegang jawatan dalam kerajaan negeri mencaci nama orang lain yang tidak sehaluan.
“Ini kualiti politik yang memang tidak ada etika, tak boleh jaga kebaikan rakyat,” tegasnya.
Sementara itu, @thefortune6 pula menulis, “Ulaslah pasal pengaruh syiah yang berkembang dalam Pas. Ni ulas pasal kelapa. Kelapa tu bukan keutamaan dalam hidup, akidah tu yang paling utama.”
Dalam masa sama, ada yang turut mengingatkan tentang kepentingan mengutamakan adab yang menggambarkan akhlak individu.
“Dr mungkin ada sijil dan berilmu, tetapi adab lebih tinggi daripada ilmu. Ilmu penting, namun tanpa adab, ia tidak bermakna.
“Dalam Islam, adab harus diutamakan sebelum ilmu, kerana akhlak yang baik mencerminkan keperibadian seseorang,” nasihat @izwaf_77.
LANJUT MENYUSUL
Â