Ada lori didakwa sewa tayar untuk masuk Puspakom, CEO tampil buka mulut

Beberapa hari kecoh di media sosial apabila pemilik kenderaan berat didakwa menggunakan khidmat sewa tayar untuk masuk ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Kekecohan itu timbul sehari selepas negara dikejutkan dengan tragedi berdarah membabitkan treler dan bas yang menyebabkan enam maut serta puluhan cedera.

Hasil siasatan waktu itu, kemalangan disebabkan tayar lori jenis Foton yang tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya.

Susulan itu heboh pendedahan dari orang ramai mengenai kewujudan kedai yang menjadi ‘ejen kosmetik’ untuk kenderaan perdagangan menyewa tayar bagi pemeriksaan Puspakom.

Tampil menjawab perihal itu, CEO Puspakom Sdn Bhd, Mahmood Razak Bahman berkata pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan yang menggunakan perkhidmatan ‘ejen kosmetik’ itu.

Bagaimanapun mereka sama sekali tidak akan berkompromi dalam isu pemeriksaan kenderaan.

“Sebagai contoh daripada 2.8 juta kenderaan perdagangan menjalani pemeriksaan setiap tahun, lebih lebih 220,000 gagal ujian dijalankan.

“Puspakom mengalu-alukan dan menyokong apa-apa kaedah baharu yang akan diperkenalkan JPJ untuk menyelesaikan isu identiti tayar sesebuah kenderaan,” katanya menurut laporan FMT.

Puspakom Sdn Bhd merupakan syarikat pemeriksaan kenderaan yang dilantik oleh kerajaan untuk menjalankan pemeriksaan mandatori bagi kenderaan komersial.

Sebelum ini Akaun Facebook ‘LANDO Zawawi – Brotherhood Malaysia’ dalam satu catatan pada 26 Disember lepas, berkongsi satu gambar yang tertera ‘sewa tayar untuk masuk puspakom’.

Mahmood berkata penggunaan khidmat sewa tayar adalah suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab oleh pemilik kenderaan perdagangan.

BACA JUGA Tak sangka suri rumah tujuh anak ini cari pelanggan waktu Maghrib