Elak cubaan bunuh karakter, ini nasihat Sultan Selangor sempena tirai 2025 dibuka

Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahir kekhuatiran terhadap cubaan menjejaskan reputasi seseorang secara sengaja atau `character assassination’ yang semakin berleluasa dengan niat memberi persepsi negatif terhadap individu tertentu.

Sultan Selangor bertitah, lazimnya perkara itu hanya berlaku pada musim pilihan raya, namun kini didapati ia digunakan memusnahkan kepercayaan dan seterusnya menjatuhkan individu tertentu.

“Beta ingin menasihatkan rakyat agar bijak menilai dan mengkaji terlebih dahulu sebelum membuat prasangka dan percaya dengan fitnah-fitnah yang terhasil daripada cubaan untuk membunuh karakter ini.

“Sekiranya tidak dibendung, beta bimbang kelakuan seumpamanya boleh membawa kepada lebih banyak budaya hidup yang tidak baik dan menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Beta sarankan, sekiranya terdapat kritikan atau rasa tidak puas hati di kalangan rakyat, ia seharusnya disalurkan sebagai cadangan yang membina demi manfaat semua pihak,” titah baginda sempena Sambutan Tahun Baharu 2025.

Menerusi laman Facebook Selangor Royal Office hari ini, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyeru agar rakyat tidak kira agama, bangsa dan fahaman politik, menanam azam baharu untuk lebih fokus kepada usaha membangun ekonomi dan bekerja lebih kuat demi memajukan negara dalam semua bidang.

“Beta tidak mahu ada pihak-pihak yang masih bertelagah, khususnya di kalangan pemimpin, komuniti perniagaan, penjawat awam yang tamakkan kuasa dan kemewahan.

“Beta sering perhatikan bahawa pertelagahan seumpama ini kerap menjadi punca kepada timbulnya fitnah-fitnah jahat dan adu domba serta penyebaran maklumat palsu khususnya di media sosial,” titah baginda.

Perutusan dari Istana Alam Shah juga menyeru rakyat sama-sama berazam membanteras gejala rasuah di semua peringkat dengan meningkatkan penguatkuasaan dan paling penting, mengutamakan integriti dalam nilai-nilai kehidupan harian.

Baginda mengingatkan bahawa sebuah tamadun boleh runtuh hanya disebabkan oleh rasuah yang berleluasa dan tidak terkawal.

“Beta percaya untuk menjadi sebuah negara yang maju, rakyatnya haruslah saling hormat menghormati, berfikiran positif dan bersatu padu.

“Jika masih kerap bertelagah, bukankah usaha-usaha untuk memajukan negara akan tergendala?

“Akibatnya, rakyat yang akan menanggung sengsara hanya kerana keangkuhan dan sifat pentingkan diri sendiri segelintir pihak,” titah baginda dari Istana Alam Shah.

Dalam titah Sultan Sharafuddin juga, baginda yakin Malaysia akan menjadi sebuah negara yang lebih maju dan disegani pada tahun 2025 nanti jika rakyat menggembleng usaha dan tenaga, mengukuhkan jati diri dan berazam untuk menyumbang sesuatu kepada kemajuan negara.

BACA JUGA Pas gelar ‘Madani Jahiliah’, anggap PH pula wakil penjajah

Â