Ajakan berhimpun bantah Hannah dan Nga, ini nasihat kepada Pemuda Pas
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Muhammad Kamil Munim mengingatkan agar Pemuda Pas lebih matang dan bertanggungjawab susulan ‘Himpunan Bangkit Ummah’.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan menolak pelawaan Pemuda Pas terhadap sayap Umno, PKR dan AMANAH dalam himpunan yang dijadualkan berlangsung di Masjid Jamek, Kampung Baru pada Jumaat, 3 Januari ini.
Muhammad Kamil menyifatkan demonstrasi yang merupakan bantahan terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming itu sebagai sekali lagi cubaan untuk menerapkan budaya ketakutan di kalangan orang Melayu.
Menurutnya di platform X hari ini, himpunan membantah penerbitan sebuah buku Yeoh dan sambutan Krismas di pejabat kerajaan itu sebagai satu lagi percubaan populis untuk mendapatkan sokongan politik murahan dengan membangkitkan sentimen perkauman dan agama.
“Hak umat Islam mesti ditegakkan dengan mengangkat martabat dan taraf hidup rakyat, memperkukuh ekonomi, memupuk perpaduan masyarakat, memerangi rasuah dan mempromosikan keadilan sosial.
“Pemuda Pas perlu lebih matang dan bertanggungjawab. Jangan hancurkan tatanan sosial negara ini dengan api sentimen perkauman dan agama yang sempit.
“Ini bukan sebahagian daripada tuntutan agama,” kata Muhammad Kamil sambil mengucapkan selamat tahun baru.
Semalam, Pemuda Pas mempelawa sayap Umno, PKR dan AMANAH menyertai himpunan yang membantah penerbitan buku Yeoh berjudul ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ dan sambutan Krismas di bangunan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Timbalan Ketua Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri dalam sidang media semalam, mendakwa buku Yeoh mengandungi unsur penyebaran agama Kristian secara halus yang perlu dipandang serius dan wajar dibantah.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Pas, Nazir Helmi, pula menuntut pihak berkuasa agama, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar membuat penjelasan berhubung garis panduan sambutan Krismas di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan baru-baru ini.
“Persoalan kita bukan kepada sambutan Krismas, tapi adakah dibenarkan premis kerajaan mengadakan ritual agama kerana garis panduan Majlis Fatwa Kebangsaan dan mufti wilayah tak dibenarkan ada nyanyian dan sebagainya,” kata Nazir.
Dia juga mempersoalkan sama ada pokok Krismas boleh digunakan bagi tujuan ritual kerana sehingga kini tiada pihak yang menjawab persoalan tersebut.
LANJUT MENYUSUL