Abang polis denda geng basikal lajak ketuk ketampi tarik perhatian masyarakat
Pengguna media sosial tertarik dengan satu rakaman tular memaparkan sekumpulan anggota polis trafik ‘memukat’ remaja bawah umur yang sedang menunggang basikal lajak.
Rakaman 20 remaja lelaki dikenakan ‘hukuman’ ketuk ketampi dengan disaksikan ramai anggota polis trafik ternyata mencuit hati ramai.
Mereka dipercayai ditahan anggota polis kerana menunggang basikal lajak di sekitar ibu kota pada malam tahun baru.
Barisan basikal lajak turut dilihat disusun di belakang mereka. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan lokasi sebenarnya.
Situasi yang jarang berlaku itu mendapat perhatian orang ramai yang berada berhampiran untuk turut sama menonton serta merakam momen berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen pula rata-rata pengguna media sosial menyokong tindakan anggota polis trafik memberikan denda yang sedemikian sebagai pengajaran selain menyifatkan denda berkenaan sebagai ‘hukuman yang comel’.
Mengulas denda ketuk ketampi itu, Bukit Aman memberitahu hukuman dikenakan setimpal dengan kesalahan selain bertujuan untuk mendidik.
“Denda yang kita buat itu mungkin nampak macam lain daripada lain sikit, tetapi ini untuk memberikan peringatan dan juga amaran kepada mereka,” kata Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memetik Buletin TV3.
BACA JUGA Pas salahkan admin lepas kantoi fitnah Anwar
Â