Mahkamah benar Mukhriz tangguh sementara cukai LHDN RM5 juta

Bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berjaya menangguhkan sementara tuntutan cukai tambahan berjumlah lebih RM5.02 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun 2017 hingga 2019.

Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh membenarkan permohonan Mukhriz mencabar notis LHDN yang didakwa membuat ‘pengiraan salah’ terhadap liabiliti cukainya, lapor FMT.

Notis dikeluarkan pada 27 September tahun lalu menuntut pembayaran tambahan RM2.56 juta bagi 2017, RM2.44 juta untuk 2018, dan RM16,826.37 bagi 2019.

Ini bermakna, Mukhriz tidak perlu membayar cukai tambahan sehingga 16 April selepas mendapat penangguhan sementara manakala pengurusan kes pula ditetapkan pada 7 Januari ini.

Hakim Amarjeet membenarkan bekas Menteri Besar Kedah itu memulakan semakan kehakiman selepas berpuas hati terdapat isu yang wajar dibicarakan dalam prosiding tersebut.

Terdahulu, mahkamah mendengar penghujahan peguam Nizamuddin Abdul Hamid yang mewakili Mukhriz dan Peguam Kanan Persekutuan, Wan Shahida Wan Omar mewakili responden-responden.

Dalam permohonan yang difailkan pada 20 Disember itu, Mukhriz, 61, menamakan Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Mukhriz yang juga ahli perniagaan, memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden pertama mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan bagi tahun 2017 hingga 2019 berjumlah RM5,020,707.18 atas alasan tindakan responden pertama itu menyalahi undang-undang dan tidak munasabah.

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa keputusan responden pertama mengenakan penalti terhadapnya di bawah Seksyen 113 (2) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 adalah terbatal dan ultra vires.

Selain itu, Mukhriz juga memohon perisytiharan bahawa Anwar menggunakan kuasa secara salah dengan menyebabkan responden pertama mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan dan sijil di bawah Subseksyen 104(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.