Nur Jazlan: Pas jin politik, bukan malaikat politik

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan Pas sebagai jin politik, bukan malaikat, yang memanipulasi agama demi kepentingan sendiri.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sokongan Pas terhadap perhimpunan solidariti untuk mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada 6 Jan.

Nur Jazlan tidak mahu ahli Umno terpedaya dengan tindakan Pas itu.

“Pemimpin PAS sering cakap macam mereka ni wakil syurga. Tapi bagi saya, PAS bukan ‘malaikat politik’ tapi lebih kepada ‘jin politik’ sebab mereka pandai manipulasi agama demi kepentingan sendiri.

“Fatwa politik mereka berubah ikut selera. Dulu kawan Umno satu jihad untuk ummah tapi bila bermusuh, Umno pula dikafirkan. Sama juga dengan DAP – masa berkawan, DAP bagus; bila bergaduh, DAP jadi komunis,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Nur Jazlan turut mempersoal motif Pas di sebalik sokongan mereka untuk Najib.

“Mungkin sekarang ni lebai PAS nak cari duit baru lagi dari Najib tu sebab Bersatu pun dah pokai dan bila PMX cakap nak buat PRU awal PAS mengelabah sebab mereka sekarang ni takde pitih,” katanya.

Perhimpunan solidariti pada 6 Januari akan diadakan di hadapan Istana Kehakiman di Putrajaya.

Permohonan titah addendum untuk membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah juga akan didengar oleh mahkamah pada hari sama.

BACA JUGA: Pas salahkan admin lepas kantoi fitnah Anwar

Â