Ini 7 perubahan besar Dr Dzulkefly buat dalam KKM, nombor lima paling berjaya
Sepanjang setahun menerajui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Seri Dr Dzulkefly berjaya melaksanakan pelbagai perubahan besar yang memberi kelegaan buat ratusan ribu petugas kesihatan negara.
Sejak mengambil alih kementerian itu pada Disember 2023, pelbagai dasar kesihatan negara telah dirombak secara menyeluruh ‘from womb to tomb’, bagi memastikan seluruh gerak kerja KKM dan kerajaan dalam aspek kesihatan adalah terkini, cekap dan berkesan.
Ini tujuh perubahan besar dilaksanakan KKM sepanjang setahun diterajui Dr Dzulkefly
1) Pindaan Akta Perubatan 1971 [Akta 50]
Pindaan ini antara yang terpenting untuk merombak sistem latihan kepakaran perubatan, di samping menambah baik beberapa aspek tatakelola amalan perubatan.
Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] pula amat kritikal untuk membolehkan negara mempunyai tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi menghadapi sebarang ancaman penyakit berjangkit.
2) Malaysia kini berdiri megah di persada dunia apabila kualiti amalan perubatan dan sistem kesihatan negara diyakini oleh badan-badan antarabangsa.
Agenda memerangi kerintangan anti mikrob (AMR) yang dipengerusikan Dr Dzulkefly pada Mei lalu di Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) di Geneva kini diterima sebagai agenda kesihatan global.
Ini diikuti dengan Resolusi Kesihatan Paru-paru yang beliau telah kemukakan di Kongres Kanser Sedunia pada September lalu, yang kini juga akan ke WHA 2025.
3) Berjaya melaksanakan 1 individu 1 rekod kesihatan secara elektronik.
Bahagian Kesihatan Digital (DHD) dan Bahagian Pengurusan Maklumat meneruskan agenda transformasi digital KKM, menuju ke arah 1 Individu 1 Rekod Kesihatan secara elektronik untuk sepanjang hayat.
Di samping itu, pelaksanaan teknologi hijau dan mesra alam telah mencapai pencapaian yang cemerlang, contohnya beberapa fasiliti KKM menerima anugerah seperti ASEAN Energy Award 2024, Leadership in Energy and Environmental Design (LEED) dan Malaysian Carbon Reduction and Environmental Sustainability (MyCREST).
Penjimatan tenaga elektrik sebanyak 1,097 GWh bernilai RM461 juta dan pengurangan pelepasan gas karbon dioksida sebanyak 702 tan secara kumulatif adalah bukti pencapaian ini.
4) Biasiswa untuk latihan kepakaran dinaikkan ke RM152.4 juta, dua kali ganda lebih besar
Dengan pindaan Akta 50 yang telah dibuat, ekosistem latihan kepakaran perubatan akan bertambah baik.
Contohnya, jumlah biasiswa untuk latihan kepakaran telah dinaikkan ke RM152.4 juta untuk tahun 2024, iaitu lebih dua kali ganda berbanding 2019-2023.
Ini juga adalah salah satu strategi untuk mengekalkan bakat dalam sistem kesihatan awam, kerana ia menyokong petugas kesihatan untuk mencapai aspirasi kerjaya mereka.
Selain itu, selain daripada kenaikan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) kenaikan elaun tetap atas panggilan dan pelbagai insentif lain juga adalah usaha ke arah ini.
5) Melaksanakan Hospital Services Outsourcing Program (HSOP)
Di bawah Hospital Services Outsourcing Program (HSOP) pula, perkhidmatan seperti kardiologi, pembedahan kardiotorasik, nefrologi dan radiologi, serta pengimejan, dialih daya (outsourced) kepada pihak swasta menggunakan kaedah pembelian strategik. Ia menyaksikan:
i. Pengurangan 75% masa menunggu pesakit untuk pembedahan Arterio-Venous Fistula (AVF), iaitu dari 16 minggu kepada 4 minggu
ii. Pengurangan 20% masa menunggu bagi prosedur MRI dan Ultrasound, iaitu dari 20 minggu kepada 16 minggu
Sebanyak 22,773 kes rujukan telah dibuat ke 94 hospital swasta panel terlibat, melibatkan peruntukan sebanyak RM66.5 juta.
6) Menaik taraf 400 klinik kesihatan dengan peruntukan sebanyak RM150 juta
Selain itu kerajaan berjaya membina enam klinik kesihatan baharu dengan peruntukan sebanyak RM146 juta. Enam klinik berkenaan dibina di Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan.
Sembilan projek naik taraf dan bangunan tambahan hospital siap dengan peruntukan RM1.2 bilion.
7) Mengadakan program-program kesihatan seperti Walkabout BeBAs dengan menguatkuasakan perintah larangan merokok di tempat-tempat awam yang tertentu.
Perincian lanjut mengenai pencapaian setahun Dr Dzulkefly di KKM boleh didapati di Facebook rasmi beliau.
BACA JUGA Susulan titah Agong, KPN bagi amaran jangan sertai sebarang perhimpunan
Â