Zahid Hamidi kata beliau ‘alergik dengan warna hijau’

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berseloroh mengatakan beliau alergik dengan warna ‘hijau’.

Ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya, beliau menyeru hari keluarga diadakan secara besar-besaran di semua badan berkanun di Putrajaya atau Kuala Lumpur tanpa mengira parti.

Beliau mahu semua agensi berkumpul tanpa beridentitikan organisasi masing-masing dan bergaul dengan semua mengikut “warna-warna rumah tertentu”.

Namun beliau sempat berjenaka bahawa beliau alergik dengan warna hijau yang merujuk kepada parti Pas.

“Saya mahu semua bergaul di dalam satu pasukan mengikut warna rumah-rumah tertentu.

“Supaya kita kenal antara satu sama lain. Mungkin banyak warna yang akan saya pilih tetapi oleh kerana saya alergik dengan warna hijau, warna hijau tidak akan wujud,” katanya.

Sementara itu ketika ditemui media dan ditanya mengapa Pas terlibat dalam himpunan solidariti Datuk Seri Najib Razak pada Isnin depan, Zahid berkata dia tidak tahu.

BACA JUGA Penyanyi ‘bea soba bea’ kini ada kelab peminat dalam penjara Narathiwat

Â