Malangnya acuan pemimpin muda dari sumber yang meringankan dosa menfitnah

Wanita Muda AMANAH (WARDA) Nasional kesal dengan tulisan dikeluarkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa “sekular lebih berdosa daripada fitnah”.

Ketuanya, Masturah Abu Bakar berkata, kenyataan tersebut jika tidak ditangani dengan betul boleh membawa mesej yang salah kepada generasi muda, khususnya wanita muda seperti Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad yang sedang membina identiti kepimpinan mereka.

“Amat malang jika acuannya adalah dari sumber yang meringankan dosa menfitnah.

“Fitnah yang jelas bertentangan dengan nilai Islam, tidak boleh diterima sebagai alat politik.

“Sebaliknya, kepimpinan yang berlandaskan rahmah dan keadilan perlu menjadi asas dalam setiap tindakan dan keputusan terutama bagi pemimpin wanita muda,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, beliau berkata, kes saman yang melibatkan Siti Mastura menjadi peringatan penting tentang betapa utamanya nilai integriti dalam kepimpinan, khususnya bagi ahli politik dalam kalangan wanita muda yang merupakan harapan dan tonggak masa depan negara.

“Tindakan politik yang berasaskan fitnah bukan sahaja merosakkan reputasi individu, tetapi juga mencemarkan nilai kepimpinan wanita Islam yang seharusnya menjadi teladan kepada masyarakat.

“Dalam keadaan ini, kita perlu bertanya, kepimpinan yang bagaimana yang kita ingin lahirkan?

“Adakah pemimpin yang memimpin dengan menyemai fitnah atau yang membina dan membawa manfaat kepada rakyat serta negara?” soalnya.

Masturah berkata, WARDA percaya bahawa kepimpinan wanita muda harus mencerminkan pendekatan rahmah, sederhana, dan inspiratif yang mampu menjadi teladan kepada generasi muda.

“Dalam Islam, kepimpinan bukanlah soal perebutan kuasa semata-mata, tetapi tanggungjawab besar untuk membawa manfaat kepada ummah dan memelihara keharmonian.

“Dalam konteks ini, wanita muda perlu melangkah ke hadapan dengan menunjukkan contoh kepimpinan yang berintegriti, menjunjung kebenaran, dan menolak segala bentuk fitnah yang merosakkan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan wanita muda perlu melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan, membawa aspirasi yang luhur dan menjadikan diri mereka sebagai pemimpin yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Wanita muda bukan sekadar pelengkap kepada landskap politik negara, tetapi merupakan tonggak dalam usaha membina kepimpinan berintegriti dan mempunyai nilai moral yang tinggi,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Pas anggap UMNO ayam betina, siapa pula yang biawak tu!

Â