MP Pasir Mas derhaka melata di media sosial, kesal dakwaan biawak

Orang ramai menyifatkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ketua Penerangan Pas sebagai derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong menjelang perhimpunan solidariti bersama Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya lusa.

Rata-rata kesal dengan tindakan Ahmad Fadhli semalam yang tergamak menggunakan kata biawak sebagai perbandingan dalam hantaran yang berbaur sindiran.

“Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji.

“Disergah biawak, digadai reban,” kata Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa parti komponen Kerajaan Perpaduan itu tidak meneruskan perhimpunan solidariti terhadap Najib di Istana Kehakiman, 6 Januari ini.

Semalam, Istana Negara mengeluarkan kenyataan menjelang hari rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul difailkan bekas Perdana Menteri berkenaan untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Addendum didengar oleh Mahkamah Rayuan pada Isnin ini.

Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan kuasa memberi ampun, tunda hukum, dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong sebagai mana termaktub berdasarkan kepada peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut kenyataan sama, Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung, atau meringankan apa-apa hukuman yang sudah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan terbabit.

Kuasa Yang di-Pertuan Agong itu dijalankan dengan nasihat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh baginda.

“Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang,” menurut kenyataan Istana Negara lagi.

BACA JUGA Pas jangan kurang ajar beri gambaran sebagai biawak, kata Lokman Adam