Ahmad Fadhli Shaari buat taichi pula, siapa biawak masih tidak berjawab

Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari membuat tai chi dalam hantaran Facebook terbaharunya.

Beliau menafikan bahawa hantarannya sebelum ini merujuk kepada Yang Di-Pertuan Agong tetapi tetap tidak menjelaskan siapa yang dituduhnya sebagai biawak.

“Kekesalan kedua ialah cubaan mengaitkan nama Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di dalam isu ini. Padahal secara jelas tidak ada mana-mana bahagian di dalam titah baginda yang melarang himpunan 6 Januari.

“Nasib baiklah Pemuda UMNO mengisytihar bahawa mereka akan hadir dan ini membuktikan mereka juga memahami kehadiran di himpunan itu bukanlah bererti derhaka kepada Agong. Persoalannya, kenapakah pemahaman Pemuda UMNO berbeza dengan pemahaman Presiden dan Setiausaha Agung UMNO?

“Jadi jelas, YDPA tiada kaitan dengan hantaran saya itu. Walaupun demikian, selaku rakyat Malaysia, Pemuda AMANAH berhak untuk membuat laporan polis, dan saya sebagai warganegara Malaysia, tentulah bersiap sedia untuk disiasat sebagaimana proses keadilan di Malaysia,” tulis Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Kekesalan utama Fadhli pula penggunaan gambarnya oleh Pemuda AMANAH yang dikatakan sebagai kurang sesuai.

“Saya secara peribadi sangat kesal dengan langkah Pemuda AMANAH ini. Pertama sekali kekesalan yang paling utama ialah pemilihan gambar yang kurang sesuai. Sepatutnya jika mahu diletakkan gambar saya, pilihlah gambar yang sesuai dan dalam keadaan bersedia untuk difoto serta bukan reaksi wajah seperti itu.

“Langkah itu kurang profesional dan menjadikan reaksi wajah saya agak ‘kurang hensem’ walaupun saya sedar gambar lain pun bukanlah ‘hensem sangat’, tetapi paling tidak gambar yang profesional. Itulah kekesalan paling utama.

Fadhli turut memperlekehkan Pemuda AMANAH.

“Laporan polis ini juga membuktikan Pemuda AMANAH masih lagi ada, dan setidak-tidaknya ada aktiviti yang boleh dilaporkan di dalam buku mesyuarat tahunan.

“Lagipun, jika tidak pertahankan DAP, apa lagi yang boleh mereka lakukan?”

Dalam pada itu AJK Pemuda AMANAH, Ammar Atan berkata laporan polis akan dibuat terhadap Fadhli.

“Sudah cuak.

“Pemuda AMANAH tetap akan teruskan laporan polis terhadap YB Ahmad Fadhli. Kenyataan mengelirukan tentang Institusi Raja-raja Melayu tidak boleh diterima.

“Politik membinatangkan orang dan politik fitnah mesti dihentikan!

“Hormati institusi raja, bukan jadikan alat politik. Berani kerana benar!” kata beliau menerusi hantaran Facebook.

Â