Laporan polis demi budaya rahmah, bukan fitnah

OLEH: AZLI YUSOF

Petang tadi saya telah bersama Abbas Salimi, Pengarah Penerangan PH Selangor memberi sokongan kepada Abdul Muhaimin, Pengarah Biro Mobilisasi Amanah Selangor yang membuat laporan polis terhadap Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin di IPD Shah Alam.

ADN Sungai Burong yang dikenali sebagai Dr Zamri Mantop itu telah membuat hantaran fitnah di Facebook terhadap YAB Perdana Menteri pada 1 Januari 2025 menyebabkan ia telah dikongsi dan disebar luas di media² sosial.

Kami terpanggil membuat laporan polis kerana kesal dengan budaya fitnah yang dilakukan secara berterusan sebaik kita melangkah ke awal tahun baharu 2025.

Apatah lagi ia dilakukan oleh seorang wakil rakyat yang juga merupakan seorang agamawan bergelar ustaz. Sudah tentu ia sangat mencemarkan nama baik agama Islam yang sinonim dengan nilai rahmah dan mengutamakan akhlak mulia.

Lebih dikesalkan, hantaran itu juga jelas bertentangan dengan Titah kebawah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sehari sebelum itu.

Baginda telah menzahirkan kebimbangan terhadap cubaan membunuh karakter atau ‘character assassination’ yang semakin berleluasa kebelakangan ini dengan niat untuk memberi persepsi negatif terhadap individu tertentu.

Menurut Baginda, jika tidak dibendung, perbuatan itu boleh membawa kepada lebih banyak budaya hidup yang tidak baik dan menjejaskan keharmonian masyarakat.

Sebab itulah kami mengambil inisiatif membuat laporan polis terhadap YB Dr Zamri agar budaya ini dapat dibendung dan tindakan tegas dapat diambil melalui saluran undang-undang.

Parti Amanah Negara dan Pakatan Harapan juga berazam untuk terus mendidik masyarakat agar menyuburkan budaya rahmah seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Dalam masa yang sama budaya fitnah dan adu domba harus dicegah dan dihapuskan. Sesuai dengan perintah Allah yang menyeru kepada amalan kebajikan dan takwa; dan mencegah amalan dosa dan permusuhan.


AZLI YUSOF ialah Ahli Parlimen Shah Alam

Â