Mahkamah Rayuan putuskan hari ini isu Titah Adendum Najib Razak

Hari ini Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan Najib untuk kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman mengenai kewujudan Titah Adendum.

Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu membolehkan Najib menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan di rumah.

Bekas Perdana Menteri itu merayu untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman dalam usaha memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan.

Mahkamah juga akan mendengar permohonan bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan bagi menyokong dakwaannya mengenai kewujudan Titah Adendum tersebut.

Jika mahkamah membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman, ia akan mengenepikan keputusan mahkamah tinggi dan mengarahkan supaya kes itu dikembalikan ke mahkamah sama untuk didengar meritnya.

Bagaimanapun, jika Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, Najib masih boleh memfailkan rayuan terhadap keputusan itu ke Mahkamah Persekutuan.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Pagi ini juga penyokong Najib Razak sudah mula berkumpul di Istana Kehakiman sejak jam 5.30 pagi tadi.

Polis melaksanakan kawalan ketat sejak tengah malam tadi.

BACA JUGA Sanusi anggap himpunan Najib ‘peluang terhidang’ seperti tangkap ikan depan mata

Â