Anthony kecam Hadi heret DAP dalam isu Titah Adendum Najib
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengecam sekeras-kerasnya tindakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengheret DAP dalam isu Titah Adendum Datuk Seri Najib Razak.
Loke menegaskan, pemimpin DAP khususnya anggota Kabinet dari DAP langsung tidak terlibat dalam isu adendum tersebut kerana isu pengampunan adalah urusan Lembaga Pengampunan yang tidak melibatkan Jemaah Menteri.
Dalam Lembaga Pengampunan juga tidak ada seorang pun Ahli Lembaga yang terdiri dari wakil DAP.
“Tambahan pula, segala urusan Lembaga Pengampunan dinasihati oleh Peguam Negara kepada Yang Dipertuan Agong.
“Kita amat mengenali taktik politik kotor dan keji Pas yang menggunakan isu ini dan mengaitkan dengan DAP untuk tujuan menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memecahkan Kerajaan Perpaduan,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Abdul Hadi mendakwa keputusan Mahkamah Rayuan semalam berkaitan Titah Adendum telah mendedahkan wajah sebenar kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP.
Beliau dalam satu kenyataan telah menyelar PH dan DAP yang didakwanya mengkhianati konsep Raja Berperlembagaan.
“Hal ini telah mendedahkan wajah sebenar kerajaan PH yang didominasi oleh DAP yang menegakkan prinsip sekularisme yang dipahat dalam perlembagaan partinya dan kenyataan para pemimpinnya,” kata Abdul Hadi.
Mengulas lanjut Loke berkata, pemimpin Pas kini amat gila kuasa dan gelojoh untuk mencapai cita-cita politik mereka untuk merampas kuasa di Putrajaya.
Katanya, tindakan keji ini merupakan mainan politik ulangan Pas yang hanya pandai menyalahkan DAP dalam apa sahaja isu dengan slogan “Semua Salah DAP”.
“Saya menyeru rakyat Malaysia yang menghargai kestabilan politik pada masa kini untuk menolak sekeras-kerasnya politik murahan dan keji yang dibawa oleh PAS.
“DAP akan terus mendukung Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan yakin dengan keikhlasan semua gabungan dalam kerajaan untuk menolak cubaan Pas menggangu-gugat kestabilan negara,” ujarnya.
BACA JUGA Bekas banduan dakwa sel penjara Najib ‘istimewa’ dilengkapi komputer
Â