RUU Jenayah Siber, pengganti Akta Jenayah Komputer, akan dibentang Oktober ini

Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber baharu yang dijangka dibentangkan pada Mesyuarat Ketiga Sesi Keempat Parlimen ke-15 pada Oktober ini.

Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dalam proses merangka RUU tersebut yang akan menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 yang kini dianggap lapuk dan tidak relevan dalam menangani ancaman siber moden.

“Beberapa minggu lepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongannya terhadap penggubalan RUU baharu ini dalam hantaran di Facebook selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara bagi 2024,” Ketua Pegawai Eksekutif NACSA, Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin

“Kita sebenarnya mahu menyemak Akta Jenayah Komputer 1997 tetapi saya rasa lebih relevan jika mempunyai akta baharu berbanding menyemak akta lama, ia lebih rumit.”

Beliau berkata demikian selepas Sesi Dialog bertajuk ‘Regulating for Resilience: Cybersecurity and Critical Infrastructure Protection’ di Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2025, semalam.

RUU baharu itu menjadi keperluan utama bagi Malaysia untuk menyertai Konvensyen Budapest dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Jenayah Siber pada Jun ini.

Kedua-dua konvensyen itu penting bagi menunjukkan komitmen negara dalam memerangi jenayah siber di dalam negara mahupun peringkat antarabangsa.

Beliau turut menekankan sasaran Perdana Menteri untuk mencapai 25,000 pakar keselamatan siber menjelang akhir tahun ini.

Beliau turut menegaskan kepentingan untuk mengekalkan bakat tempatan bagi memenuhi matlamat tersebut.

“Pihak industri perlu menawarkan gaji lebih tinggi kepada bakat-bakat Malaysia dan tidak membiarkan mereka berhijrah ke Singapura atau Dubai sebaliknya terus kekal di Malaysia. Dengan kekurangan bakat tempatan, kita mempertaruhkan keselamatan negara dalam perspektif lebih luas.

“Kita memerlukan 10,000 bakat tahun ini dan jika universiti mampu menghasilkan 3,000 orang sekarang, separuh daripadanya akan pergi ke negara lain seperti Singapura, Qatar dan Dubai yang menawarkan lebih banyak (gaji). Ia bergantung kepada cara konvensional dalam mendapatkan bekalan dan kita perlu mengambil pendekatan drastik bagi mendapatkan lebih banyak bakat,” katanya.

Selain itu, beliau juga menyarankan fleksibiliti di tempat kerja bagi menggalakkan lebih ramai wanita memasuki dan kekal dalam sektor tenaga kerja keselamatan siber.

Â