Butiran minit Lembaga Pengampunan kekal sulit, tegas Dr Zaliha

Butiran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan kekal sulit, tegas Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa yang juga adalah ahli Lembaga Pengampunan.

“Minit mesyuarat (Lembaga Pengampunan) adalah perkara sulit. Jadi kita tak boleh buat perkara (dedah butiran kepada umum) itu.

“Itu hanya hak Lembaga Pengampuran,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Kiosk Sentuhan MADANI yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan cadangan setiausaha politik kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Akin agar butiran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung pengampunan Najib Razak didedahkan kepada umum.

Shamsul mengutarakan perkara ini semalam dengan harapan ia menghentikan spekulasi berhubung pengampunan yang diberikan kepada bekas perdana menteri itu.

Isu ini timbul kerana mahkamah telah mengesahkan keberadaan Titah Adendum dan membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Najib.

Pembangkang telah menuduh kerajaan menyorok titah tersebut, selepas peguam Najib, Shafee Abdullah, mengemukakan kepada mahkamah surat daripada Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang yang mengesahkan kewujudan titah adendum itu.

Semalam, Peguam Negara Dusuki Mokhtar juga enggan menjawab pertanyaan sama ada Jabatan Peguam Negara menerima perintah adendum tahanan rumah itu.

“Saya tidak mahu komen,” katanya ringkas kepada pemberita di luar majlis pembukaan Tahun Perundangan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Bekas peguam negara Ahmad Terrirudin Salleh, yang dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada November lalu, turut hadir di majlis itu tetapi mengelak daripada bertemu dengan wartawan.