Hantaran palsu berkaitan PMX: Zamri Mantop disoal siasat SKMM
Adun Sungai Burong Zamri Mantop, atau nama sebenarnya Mohd Zamri Mohd Zainuldin, yang didakwa menyebarkan hantaran palsu berkait Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah disoalsiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Keterangan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu diambil Selasa lalu bagi membantu siasatan polis selepas Facebooknya didapati antara akaun media sosial didakwa memuat naik hantaran palsu.
Adun penggal pertama itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Dalam pemeriksaan dijalankan bersama polis itu, satu unit telefon pintar dan satu unit kad sim telah diminta untuk diserahkan sebagai bahan bukti kes bagi membantu siasatan.
“Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti itu untuk siasatan lanjut,” kata agensi itu yang menasihatkan orang ramai berhati-hati memuat naik sebarang hantaran di media sosial.
“Pastikan maklumat disebarkan adalah benar dan sahih.”