Kerjasama Malaysia-Indonesia diperkukuh, angkat kekuatan ekonomi
Hubungan strategik antara Indonesia-Malaysia dijangka terus diperkukuh dengan lawatan kerja rasmi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ke negara ini.
Kerjasama dua negara akan memfokuskan kepada transformasi digital dan pengukuhan ekonomi serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama sektor digital yang menjadi teras transformasi ekonomi masa depan adalah antara isu yang akan dibincangkan semasa kunjungan rasmi Prabowo.
“Yang pentingnya adalah usaha kami pastikan Indonesia-Malaysia bekerjasama untuk mengangkat kekuatan ekonomI.
“Antara yang terlibat adalah syarikat-syarikat utama Indonesia, Khazanah, dan syarikat-syarikat utama Malaysia, termasuk dalam bidang digital yang kita tekankan sebagai transformasi digital,” kata Anwar di Forum Ekonomi Malaysia 2025 hari ini.
Prabowo dijadualkan mengadakan pertemuan rasmi bersama Anwar bermula hari ini bagi membincangkan kerjasama dua hala serta meneroka peluang baharu untuk memperkukuh hubungan kedua-dua negara.