Pas hanya tunggang isu Titah Adendum, cetus polemik politik belasah Kerajaan Perpaduan
AMANAH kesal dengan tindakan Pas menyertai Perhimpunan Solidariti Najib yang dijadikan medan memburukkan serta memfitnah Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Presidennya, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, laungan dan retorik Islam Pas hanyalah ibarat tin kosong kerana hakikatnya perhimpunan tersebut semata-mata bertujuan untuk meraih sokongan melalui pendekatan politik murahan.
“Sebagai parti Islam, Pas mengamalkan politik Machiavelli, iaitu matlamat menghalalkan cara yang kononnya ditentang selama ini.
“Hakikatnya, Pas hanyalah menggunakan prinsip hukum mengikut selera dan jelira rasa politiknya sekali gus mahu mencetuskan polemik politik untuk membelasah Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, merelakan dirinya menjadi batu api untuk menggugat kestabilan negara,” tegas Mujahid menerusi kenyataan hari ini.
Pada 6 Januari lalu, sejumlah pemimpin Pas Bersama gerombolan Unit Amal kecuali Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang hadir dalam perhimpunan memberi sokongan kepada Najib di pekarangan kompleks Istana Kehakiman di Putrajaya.
Mereka yang hadir adalah Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan; Naib Presiden, Idris Ahmad dan Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor; Ketua Penerangan, Ahmad Fadhli Shaari; Ketua Pemuda, Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim.
Turut hadir Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh serta Siti Zailah Mohd Yusoff, Mumtaz Md Nawi dan Siti Mastura Muhammad masing-masing merupakan Ahli Pahlimen Rantau Panjang, Tumpat dan Kepala Batas.
Pembangkang dilihat terdesak menunggang isu Titah Adendum hingga menuduh Kerajaan Madani menyorok titah tambahan untuk Najib itu.
Mengulas lanjut, Mujahid yang juga bekas Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, perhimpunan Solidariti Najib yang turut disertai beberapa pemimpin Bersatu dan isu Titah Adendum dijadikan dalih untuk menutup segala kelemahan Pas.
Walhal, jelas beliau, pemimpin-pemimpin parti itulah yang paling kuat membidas Najib ketika isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meletus sebelum ini.
“Sungguhpun Ketua Polis Negara telah mengarahkan agar perhimpunan itu dibatalkan, Pas tetap meneruskannya demi mencapai matlamat dan kepentingan politik sempit dan bersifat peribadi,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) berkata, Pas tidak layak menjadi ‘role model’ parti yang memperjuangkan Islam, jauh sekali perjuangan Melayu.
“Pas hanyalah parti politik oportunis tanpa panduan prinsip dan nilai-nilai Islam sebenar.
“Rakyat perlu kenal watak dan keperibadian sebenar Pas agar tidak terperangkap dengan sandiwara dan permainan politik yang selalu berubah mengikut musim serta kepentingan sempit politik,” tegas Dr Mujahid lagi.
BACA JUGA Polemik pemenjaraan di rumah: Nak bersolidariti apa lagi?
Â