Tular video promosi Tahun Melawat Kota Bharu 2024, mana imej masjid?

Tular video promosi Tahun Melawat Kota Bharu 2024 terbitan Media Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) yang hanya meraih kira-kira 1,100 tontonan di YouTube setakat ini.

Tersebar kembali di platform TikTok, video montaj Pakat Maghi Kota Bharu tersebut menggamit perhatian warganet termasuk persoalan tiadanya imej masjid di negeri dikuasai Pas sejak 35 tahun lalu itu.

Menerusi video promosi ibu negeri Kelantan itu, kelihatan paparan lokasi dan tempat menarik seperti Pantai Siti Khadijah, lukisan mural di lorong belakang Jalan Ismail dan suasana pesawat sedang mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Turut ditonjolkan bangunan pusat jualan usahawan malah infrastruktur jalan raya di Kota Bharu selain paparan dron yang menunjukkan suasana pantai dan pemandangan Kota Bharu dari udara.

Ironinya, tiada sama sekali imej masjid dipaparkan menerusi video promosi bagi menarik pelancong itu ketika terdapat sekurang-kurangnya 19 masjid jamek dan masjid mukim di sekitar Kota Bharu, menurut laman web Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Reaksi dan sindiran orang ramai itu susulan tindakan pemimpin dan penyokong pembangkang yang menghentam Kerajaan Madani susulan video promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 yang dilancarkan pada 7 Januari lalu.

Pemimpin Perikatan Nasional (PN) mempertikai tiadanya imej Islam terutamanya masjid ketika rumah ibadat bukan Islam boleh pula ditonjolkan dalam montaj video promosi TMM 2026 berdurasi 41 saat itu.

BACA JUGA Polemik pemenjaraan di rumah: Nak bersolidariti apa lagi?

Â