Usaha kerajaan berhasil, angka pengangguran turun kepada 3.2 peratus – DOSM

Bilangan pengangguran dalam negara terus menunjukkan trend penurunan apabila kadar pengangguran kini berada di paras 3.2 peratus, menurut Stastistik Tenaga Buruh November 2024.

Setakat November tahun lalu, angka pengangguran berkurang kepada 546,700 orang berbanding Oktober 2024, iaitu penurunan sebanyak 0.9 peratus.

Oktober 2024 merekodkan pengangguran sebanyak 551,400 orang.

Dengan statistik yang dikeluarkan itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan bilangan tenaga buruh pada November 2024 terus kukuh dengan peningkatan 0.1 peratus kepada 17.29 juta orang (Oktober 2024: 17.27 juta orang).

Menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, prestasi ekonomi yang kukuh menjelang penghujung 2024 menyumbang kepada kestabilan yang lebih baik dalam pasaran buruh negara pada November lepas.

“Bilangan penduduk bekerja menyaksikan trend menaik, iaitu bertambah 0.2 peratus kepada 16.75 juta orang pada November 2024 berbanding 16.72 juta orang pada Oktober 2024,” katanya memetik laporan Bernama.

Majoriti orang yang bekerja pada November 2024 terdiri daripada kategori pekerja iaitu meliputi 74.9 peratus, dengan kategori ini menyaksikan peningkatan 0.1 peratus menjadikan keseluruhan 12.54 juta orang (Oktober 2024: 12.53 juta orang)

Begitu juga bagi kategori penduduk bekerja sendiri yang menyaksikan trend menaik dengan 0.4 peratus kepada 3.11 juta orang berbanding 3.10 juta orang pada Oktober 2024.

Bagi situasi pengangguran pada November pula, Mohd Uzir berkata mereka yang tersedia untuk bekerja dan sedang aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif, meliputi 79.8 peratus daripada keseluruhan bilangan penganggur.

“Mengenai tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, mereka yang mengganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 62.6 peratus manakala mereka yang mengganggur lebih daripada setahun 6.0 peratus.

“Begitu juga penganggur pasif atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia turut menurun 0.7 peratus kepada 110,600 orang,” katanya.

Â