Akhirnya PM buka cerita Titah Adendum tak pernah disorok tapi ini yang berlaku
Perdana Menteri menepati kata-katanya sebelum ini yang hanya akan mengulas perihal Titah Adendum selepas Mahkamah Rayuan memberi kata putus.
Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengakuan mengejut, mendedahkan bahawa peguam negara ada menerima surat titah tambahan diraja dari Istana Pahang.
Namun beliau menegaskan ia bukan dihantar kepadanya mahupun kepada ahli lembaga pengampunan.
Menurut Anwar, selepas surat itu diterima, Agong telah pun bertukar dan peguam negara menyerahkan surat itu kepada istana negara bagi membolehkan Agong yang baharu, Sultan Ibrahim membuat keputusan.
“Surat tu dihantar kepada peguam negara, bukan kepada saya, bukan kepada ahli lembaga pengampunan.
“Dan peguam negara kemudian bila Agong ganti, diserah kepada Istana Negara, kerana Agong yang pengerusikan (lembaga pengampunan).
“Itu keadaan dia, bukan kita sorok,” katanya menurut Malaysiakini semasa berucap di Program Muhibbah Madani hari ini.
Anwar menambah dalam satu mesyuarat yang dihadirinya, Peguam Negara telah menasihatkan Agong terdahulu bahawa baginda mempunyai budi bicara mutlak untuk membuat keputusan, tetapi keputusan itu mesti dibuat dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan, bukan di luar mesyuarat tersebut.
Dalam mesyuarat pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan membuat keputusan untuk mengurangkan hukuman penjara terhadap Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun serta mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Sehari kemudian, pada 30 Januari 2024, Sultan Pahang, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, menamatkan tempoh pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
BACA JUGA Minggu paling sibuk untuk Anwar, ‘back-to-back’ PM negara jiran datang