UMNO akan terus mohon ihsan Agong beri pengampunan penuh kepada Najib
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk terus memohon ihsan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk memberikan pengampunan penuh kepada Datuk Seri Najib Razak.
Ia selaras dengan kuasa prerogatif baginda di bawah Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Berhubung keputusan Mahkamah Rayuan 6 Januari lalu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata, parti itu yakin Mahkamah Tinggi akan bertindak bebas dan adil untuk menilai keabsahan kewujudan Titah Adendum tersebut.
“UMNO merakamkan rasa syukur dan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
“Menteri-Menteri yang mewakili UMNO juga bersedia untuk memberi kerjasama kepada Mahkamah Tinggi kelak jika diperlukan untuk memberikan keterangan.
“UMNO akan terus memohon ihsan dan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh kepada Najib,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.
Terdahulu Najib berjaya mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya untuk memulakan prosiding kehakiman mengenai kewujudan Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Najib ingin memulakan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan dan enam responden lain menjawab mengenai wujud atau tidak Titah Adendum pada Januari tahun lalu.
Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, maka semua responden perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Â