Larangan bersuara isu Titah Adendum Najib: Ini tindakan bakal diambil kerajaan

Kerajaan akan memohon di Mahkamah Tinggi Putrajaya untuk mendapatkan perintah larangan bersuara bagi melarang mana-mana pihak, membincangkan permohonan semakan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu Titah Adendum.

Menurut Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili kerajaan, permohonan dibuat kerana kes berkaitan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) itu menyentuh isu sensitif.

“Mahkamah mengarahkan permohonan itu difailkan pada 20 Januari ini dan Najib perlu memfailkan afidavit balasan dalam tempoh seminggu.

“Mahkamah juga menetapkan pengurusan kes semakan kehakiman secara dalam talian pada 11 Mac depan,” jelasnya.

Shamsul Bolhassan

Shamsul berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding yang berlangsung dalam kamar di hadapan Hakim, Hayatul Akmar Abdul Aziz.

Dalam masa sama, Shamsul berkata, kerajaan akan membantah permohonan Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Zulkiflin Nordin untuk menjadi peguam pemerhati bagi kes tersebut.

Mereka akan hadir bagi pihak tiga ahli Parlimen iaitu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee.

“Mahkamah mengarahkan permohonan itu, difailkan secara rasmi pada 27 Januari ini dan kerajaan perlu memfailkan afidavit balasan pada 10 Februari,” katanya lagi.

BACA JUGA Setiausaha Agung Pas jangan menipu