Perlukah, boleh dapatkah gag order dalam kes titah addendum?
OLEH ZULQARNAIN LUQMAN
Peguam Negara (AG) menyatakan hasrat mereka untuk memfailkan permohonan bagi mendapatkan gag order (perintah larangan bercakap) berkaitan kes Titah Addendum memandangkan kes ini masih lagi dibicarakan di Mahkamah Tinggi selepas rayuan Najib dibenarkan tempoh hari.
Menteri Undang-Undang Datuk Seri Azalina Othman Said berkata bahawa dia sendiri tidak bersetuju dengan hal itu kerana isu ini sudah luas diperbincangkan. Beberapa orang lain juga menyatakan bahawa jika ada gag order maka makin ramai orang akan hilang keyakinan dengan ketelusan kerajaan.
Gag order ini biasanya dipohon kepada mahkamah dalam kes berkaitan seksual kanak-kanak bertujuan untuk melindungi identiti dan mangsa dalam kes tersebut. Perintah gag order itu akan membantu saksi untuk memberikan keterangan tanpa khuatir, takut dan bimbang.
Sebenarnya Najib sendiri pernah memohon gag order ini dikeluarkan pada masa kes SRC dibicarakan di Mahkamah Tinggi dahulu. (Dato Sri Mohd Najib Hj Abd Razak vs PP [2018] MLRHU 1456).
Dalam kes itu, Hakim Nazlan Ghazali telah memberikan panduan yang agak terperinci mengenai gag order.
Antara pertimbangan yang disebutkan olehnya adalah mengenai hak kebebasan bersuara dan ekspresi yang dijamin oleh Perlembagaan dan kes yang menjadi subjudis.
Katanya lagi, sistem kehakiman di Malaysia ini mengamalkan sistem keadilan yang terbuka yang mana mahkamah adalah terbuka kepada kehadiran orang awam.
Sistem ini juga membenarkan media melaporkan apa jua keadaan di mahkamah.
Pengecualian
Namun begitu, ada pengecualian terhadap prinsip ini jika ianya melibatkan keselamatan awam seperti kes berkaitan teroris atau kesalahan seksual.
Hakim juga ada mengulas mengenai dakwaan bahawa hakim mungkin terpengaruh dengan cakap-cakap di media.
Ini mungkin berlaku jika ianya satu sistem pengadilan menggunakan juri yang mana juri awam mungkin terpengaruh.
Sebaliknya, seorang hakim yang dilatih akan membuat keputusan berdasarkan bukti yang ada di hadapan mahkamah. Mungkin juga ianya akan mempengaruhi saksi yang datang ke mahkamah.
Akhirnya, Hakim Nazlan membuat kesimpulan berikut:
- Seseorang pemohon perlu menunjukkan bahawa publisiti media yang meluas akan menjadi satu ancaman yang mendatangkan prejudis yang serius kepada kes dan keadilan. Dalam kes di Malaysia, tiada lagi perbicaraan menggunakan juri maka prejudis yang serius itu sangat sukar berlaku.
- Pemohon juga mempunyai remedi lain selain gag order seperti menggunakan remedi penghinaan mahkamah atau undang-undang fitnah.
- Pertimbangan kebebasan bersuara dalam Perlembagaan harus diberikan pertimbangan serius kerana menghalang kebebasan tersebut boleh menjurus kepada perbicaraan yang tidak terbuka sekaligus akan menjejaskan keadilan.
- Permohonan itu harus spesifik kepada seseorang. Jika perintah itu dihasratkan untuk dikuatkuasakan ke atas semua orang di atas dunia ini maka ianya akan sukar dilakukan sekaligus tidak efektif.
Kesimpulan
Berdasarkan fakta dalam kes Titah Addendum ini nampaknya mungkin AG tidak berjaya untuk mendapatkan perintah gag order ini. Satu perkara lagi, apabila Menteri Undang-Undang sendiri tidak bersetuju dengan permohonan gag order ini membuktikan bahawa institusi AG tidak berkaitan secara langsung atau tidak mengambil arahan daripada Menteri sebagaimana yang disangka sesetengah pihak.
Sekarang ini pun nampaknya ada pihak yang tidak berpuas hati dengan cara AG mengendalikan hal ini. Jika ada gag order maka adakah ianya akan menghentikan orang ramai mempersoalkan kewujudan dan kesahihan Titah Addendum ini. Pastinya kelak ada soalan-soalan yang ditanyakan di Parlimen kelak berkaitan hal ini.
Dunia sekarang pun sudah bergerak pantas dengan teknologi. Minit mesyuarat Lembaga Pengampunan pun sudah berlegar di media sosial.
Maka, ada baiknya sekiranya AG baharu dapat menjelaskan fakta berkaitan hal ini supaya isu Titah Addendum ini dapat dinoktahkan segera.
AG perlu lebih proaktif dan ini adalah satu sifat yang barangkali ada pada AG Tommy Thomas dahulu yang akan tampil segera membuat penjelasan terhadap isu-isu berprofail tinggi.
ZULQARNAIN LUQMAN ialah pengerusi KANUN AMANAH
Â