Perdaya 300 jemaah: Polis kutip pengarah urusan syarikat umrah ketika sidang media

Seorang Pengarah Urusan Syarikat Umrah Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd ditahan polis petang tadi selepas didakwa memperdaya 300 jemaah dengan gagal menerbangkan mereka seperti yang dijanji.

Ketika ditahan, pengarah urusannya Mohd Syahril Alias baru selesai mengadakan sidang media dan perjumpaan bersama jemaah umrah terlibat.

Sidang media diadakan ketika itu berlangsung agak kecoh dan tegang apabila ada jemaah yang tidak bersetuju dengan tawaran dikemukakan pihak syarikat.

Difahamkan Mohd Syahril ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, JSJK Selangor di Ibu Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

Menurut Sinar Harian, penahanan itu susulan laporan polis dibuat oleh jemaah yang menuntut penjelasan terhadap kegagalan penerbangan berkenaan.

Sebelum ini, kira-kira lebih 300 jemaah umrah terkandas apabila mereka dijanjikan untuk diterbangkan ke Tanah Suci namun ditunda syarikat pengendali umrah itu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis telah menahan pasangan suami isteri pemilik syarikat umrah terbabit kira-kira jam 7 petang tadi.

Beliau berkata, JSJK pada Selasa telah menerima laporan berkaitan kes ini daripada seorang wanita tempatan berusia 39 tahun merupakan pekerja syarikat swasta yang mengalami kerugian RM11,000 kerana terkandas untuk mengerjakan umrah.

Buat masa ini sebanyak tujuh laporan polis diterima melibatkan kerugian RM100,000 di Selangor.

Siasatan awal mendapati syarikat ini mula menjalankan perniagaan sejak tahun 2022, namun berpindah ke premis tiga tingkat di Sepang sejak Oktober tahun lalu.

“Modus operandi yang digunakan dipercayai memperdayakan mangsa melalui iklan di aplikasi TikTok tentang pakej umrah dan berhubung dengan ejen yang dilantik oleh pihak syarikat,” ujarnya.

Â