Sah tak betul dakwaan MP PN, tiada lima pengarah bebas MAHB ditamatkan perkhidmatan!

Terbukti dakwaan pemimpin Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kononnya lima pengarah bebas Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) diberhentikan adalah tidak betul.

Lapor Bernama, MAHB menjelaskan pengarah terbabit tidak dilantik secara kontrak tetapi dilantik dan terus berkhidmat dalam Lembaga Pengarah.

“Pengarah-pengarah ini tidak diberikan notis pemberhentian.

“Sebarang perubahan dalam komposisi Lembaga Pengarah MAHB akan diumumkan kepada Bursa Malaysia berikutan syarikat ini adalah entiti senaraian awam,” kata MAHB.

Terdahulu, Wan Fayhsal memberitahu dia “mendapat khabar” kononnya lima Ahli Lembaga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif MAHB telah ditamatkan kontrak.

Tindakan tersebut, dakwa Ahli Parlimen Machang berkenaan, setelah membantah penjualan saham MAHB dengan nilai yang disifatkan sebagai “tidak adil, tidak munasabah”.

Sehubungan itu, Wan Fayhsal mendesak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat hal terbabit yang didakwa menjejaskan para pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Dalam masa sama, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkenaan memberitahu beberapa NGO dan pencarum akan berhimpun menyatakan bantahan mereka kepada entiti-entiti kewangan rakyat terbabit.

BACA JUGA Pernah berhujah guna surat layang, MP PN ini ‘dapat khabar’ baru pasal MAHB