Sandwic ham kontroversi rupa-rupanya memang ada sijil halal
Bahan mentah digunakan untuk membuat sandwic ham memiliki pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Syarikat pengeluarnya, Shake And Bake Cafe Sdn Bhd melampirkan salinan sijil memaparkan kepingan daging ayam digunakan dalam sandwic mereka mempunyai sijil halal sah dari Jakim.
Dalam satu kenyataan media, syarikat itu turut menyenaraikan beberapa bahan yang diperakukan halal oleh Jakim yang digunakan dalam sandwic seperti roti, keju dan kepingan ayam
“Shake and bake mengesahkan daging ayam digunakan dalam Sandwic memiliki pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Kami juga mengesahkan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jakim sudah melakukan siasatan ke atas premis mereka pada 12 tengah hari, Jumaat lalu.
“Kami berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada KPDN dan JAKIM untuk membantu siasatan kes ini,” katanya.
Bagaimanapun difahamkan, logo ‘ham and cheese’ ditampal pada pembungkusan sandwic yang menjadi kontroversi itu bukan dihasilkan syarikat pembekal terbabit.
Sabtu lalu, Universiti Malaya (UM) menutup serta-merta dua premis kedai serbaneka dalam kampusnya, susulan dakwaan penemuan produk pek sandwic diragui status halal.
Dalam kenyataan media, UM menyatakan arahan penutupan itu dikeluarkan bagi memberi ruang supaya siasatan dilaksanakan tanpa sebarang gangguan.
Â