Akhirnya kemenangan buat Gaza, penduduk berpeluk rai berita gencatan senjata
Penduduk Gaza bersorak sambil melaungkan kesyukuran dan berpelukan selepas tersebar berita mengenai perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan yang dilaporkan sudah dicapai antara Hamas dan Israel.
Ia sekaligus bakal menamatkan perang selama lebih 15 bulan di wilayah Palestin dan mencetuskan suasana gembira pada dalam kalangan penduduk.
Menurut AFP, keadaan di Gaza umpama perayaan, di mana wartawan melihat orang ramai berpelukan dan mengambil gambar untuk mengenang pengumuman ditunggu-tunggu itu.
Randa Sameeh, 45, yang dipindahkan dari Gaza ke Kem Nuseirat di tengah-tengah wilayah itu berkata, dia tidak percaya bahawa mimpi ngeri dalam penderitaan selama lebih setahun kebelakangan ini akan berakhir.
“Kami kehilangan begitu banyak nyawa, kami hilang segala-galanya. Kami memerlukan banyak rehat. Sebaik sahaja gencatan senjata bermula, saya akan pergi ke tanah perkuburan untuk menziarahi kubur abang dan ahli keluarga saya.
“Mereka dikebumikan di tanah perkuburan Deir el-Balah begitu sahaja. Kami akan membina kubur baharu dan menulis nama mereka di batu nisan,” katanya menurut agensi itu.
Di luar Hospital Syahid Al-Aqsa Deir al-Balah yang terdapat begitu ramai mangsa perang dirawat, ratusan rakyat Palestin berkumpul bersorak dan mengibarkan bendera – berdasarkan rakaman AFPTV.
Ketika ambulans melalui kawasan orang ramai berkumpul itu untuk sampai ke hospital, lelaki dan wanita kelihatan tersenyum melaungkan Allahuakbar dan mengibarkan bendera Palestin
Kanak-kanak kecil ada yang kelihatan keliru dengan kekecohan itu, turut berkumpul di luar hospital. Mereka berkeliaran di antara orang dewasa sambil menonton orang ramai ditemu bual pihak media.
Seorang jurugambar AFP juga melihat orang ramai berkumpul di Khan Yunis, di selatan Gaza, dengan lelaki muda dijulang di atas bahu orang ramai ketika yang lain memukul gendang dan bersorak.
Di satu bahagian bandar itu, orang ramai bersorak ketika kenderaan dipandu oleh pejuang Palestin perlahan-lahan melintas di jalan raya, dengan pejuang berdiri di pintu gelongsor kenderaan yang terbuka sambil mengangkat AK-47.
Perjanjian gencatan senjata dipersetujui pada Rabu dijangka menghentikan pertempuran di wilayah Palestin selama 42 hari bagi fasa pertama.
Di bawah perjanjian itu, 33 tahanan Israel yang ditahan di Gaza akan dibebaskan sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel.
Â