Penjual kantoi letak syarat beli barang lain baru boleh beli minyak masak…

Sebuah premis perniagaan didakwa mengenakan syarat kepada pelanggannya supaya membeli barangan lain sebelum dibenarkan membeli minyak masak paket 1 kilogram.

Perbuatan itu terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak membuat ‘eksperimen’ uji beli di kedai yang terletak di Kampung Boyan dekat Taiping.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail, berkata aktiviti penjualan bersyarat barang kawalan itu dikesan pihaknya menerusi Ops Samar pada semalam oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Taiping melalui aduan orang awam.

“Anggota penguat kuasa telah melakukan penyamaran dengan berpakaian preman melakukan uji beli dan mendapati premis telah mengenakan syarat minyak masak peket itu hanya dijual sekiranya pembeli turut membeli barangan lain di premis berkenaan.

“Berdasarkan kenyataan secara lisan pembelian bersyarat oleh peniaga tersebut, telah dijadikan sebagai bukti melakukan satu kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam serbuan itu, pihak berkuasa telah menemui 123kg minyak masak paket 1kg yang disimpan di dalam kotak yang tertera jenama barangan lain.

Kamalludin berkata pihaknya telah menyita kesemua minyak paket terbabit berserta beberapa dokumen berkaitan dengan rampasan bernilai RM307.50.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana peniaga disyaki telah mengenakan syarat dalam penjualan barang kawalan minyak masak peket 1kg bersubsidi,” katanya.

BACA JUGA Tujuh pertuduhan terhadap Muhyiddin dibicarakan bersekali

Â