Ruang pelaburan, perdagangan Malaysia-UK dibuka seluasnya
Perdana Menteri mengumumkan bahawa ruang pelaburan dan perdagangan antara Malaysia dan United Kingdom (UK) dibuka seluas-seluasnya susulan pembangunan bandar baharu Brabazon YTL di Bristol.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia menanti transisi kemajuan ekonomi untuk dimanfaatkan secara bersama.

Terdahulu, beliau yang dalam tempoh lawatan kerja lima hari ke UK, menyempurnakan pelancaran rasmi projek pembangunan berskala besar dikenali sebagai Bandar Baru YTL Brabazon dan YTL Arena Bristol.
Dilaporkan, nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan mencecah £6 bilion (RM33 bilion) di utara Bristol, United Kingdom (UK).
Hadir sama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Setiausaha Negara UK bagi Perniagaan dan Perdagangan, Jonathan Reynolds; Pengerusi Eksekutif YTL Group, Tan Sri Sir Francis Yeoh Sock Ping; serta Pengarah Urusan YTL Power International, Datuk Yeoh Seok Hong.
Pembangunan itu bakal menyaksikan pembinaan 6,500 unit kediaman berkualiti tinggi, taman seluas 6.07 hektar, dan kompleks hiburan neutral karbon berteknologi canggih.
Komitmen YTL Group untuk membangunkan kawasan ini dijangka menghidupkan semula tapak lama di Bristol, menjadikan Brabazon sebagai bandar baharu paling lestari di UK.
YTL Power mengambil alih tapak bersejarah Lapangan Terbang Filton dan Hangar Brabazon seluas 153.8 hektar di utara Bristol pada 2016.
Kawasan pembangunan semula terbesar di barat daya UK tersebut setakat ini menyaksikan 300 rumah telah diduduki manakala 240 lagi sedang dalam pembinaan.
BACA JUGA Semua dia nak ulas, MP Pas ini dicemuh menyalak isu MAHB