MP Pasir Gudang kata Pas, Bersatu tak layak pimpin Kerajaan Persekutuan

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) menghujahkan bahawa Pas dan Bersatu yang merupakan komponen Perikatan Nasional tidak layak memimpin kerajaan persekutuan.

Beliau berkata demikian berdasarkan satu hujah yang beliau sifatkan sebagai kesalahan.

“Saya hanya ingin memberi satu sebab sahaja bahawa adalah merbahaya kerajaan persekutuan diserah pentadbirannya kepada pemimpin Perikatan Nasional sekarang yang terdiri daripada Bersatu dan PAS.

“Kesalahan mereka yang saya sukar maafkan hingga sekarang ialah Perikatan Nasional telah mengisytiharkan darurat seluruh negara dan menggantung Parlimen selama enam bulan.

Beliau menambah bahawa kedua-dua parti tersebut bertanggungjawab membunuh demokrasi.

“Maka selagi Bersatu dan PAS dipimpin oleh generasi lama yang bertanggungjawab membunuh demokrasi dengan menggantung Parlimen dan menutup jalan ke sana dan mengisytiharkan Darurat di seluruh negara maka selagi itu amat bahaya memberi kuasa kepada mereka yang ada rekod menghancurkan demokrasi di Malaysia ini.

“Beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan termasuk saya ahli parlimen Pasir Gudang terpaksa ke Mahkamah Tinggi, ke Mahkamah Rayuan dan ke Mahkamah Persekutuan untuk mencabar keputusan kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang telah bertanggungjawab mengisytiharkan seluruh Malaysia Darurat dan menggantung Parlimen Malaysia.Pengkhianatan terhadap rakyat yang sukar dimaafkan.

Hassan berkata demikian dalam satu hantaran Facebook semalam sebagai reaksi kepada Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) dan Mursyidul Am Pas Hashim Jasin yang telah mengetengahkan beberapa nama dari kalangan mereka sebagai calon Perdana Menteri.

BACA JUGA: Pemimpin DAP dikecam Pas tapi mereka terkedepan bantu, pemimpin Pas…