Siapa Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar yang baharu?

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Othman Hashim telah dilantik sebagai Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan pelantikan itu pada mesyuarat tertutup Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) di sini hari ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan pelantikan secara rasmi Tan Sri Othman Hashim sebagai Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar.

“Saya mengucapkan terima kasih atas komitmen anda semua dalam menyokong beliau melaksanakan mandatnya sebagai Utusan Khas,” kata Mohamad semasa menyampaikan intervensi mengenai Kajian dan Keputusan Pemimpin ASEAN terhadap Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara mengenai Myanmar.

Othman, yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), adalah utusan khas kelima yang dilantik sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 yang mencetuskan krisis politik dan kemanusiaan di negara itu.

Othman, yang merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) Universiti Malaya, telah berkhidmat dengan Kementerian Luar Negeri selama lebih tiga dekad, memegang pelbagai jawatan dalam kementerian itu serta perwakilan diplomatik di luar negara.

Beliau pernah bertugas di beberapa negara termasuk Romania, Switzerland dan China.

Othman juga pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Republik Czech, Wakil Tetap ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Duta Besar ke Amerika Syarikat.

Beliau turut diiktiraf di Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) dan mengetuai delegasi Malaysia ke sesi-sesi tetap UNHRC antara 2009 dan 2012.

Pada September 2013, beliau kembali ke Putrajaya dan dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar, jawatan eksekutif tertinggi dalam kementerian.

Othman mengetuai kementerian semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2015 serta anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB dari 2015 hingga 2016 sebelum bersara pada 2016.

Isu Myanmar tertumpu kepada krisis politik dan kemanusiaan berikutan rampasan kuasa tentera 2021 terus menguji perpaduan ASEAN, termasuk prinsip tidak campur tangan dan konsensus dalam mengekalkan kestabilan serantau serta hak asasi manusia.

Othman ialah Utusan Khas kelima yang akan cuba menyelesaikan isu Myanmar.

Â