PM Anwar bawa suara ASEAN ke WEF

Sebagai Pengerusi ASEAN Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membawa suara kolektif rantau Asia Tenggara di Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Switzerland.

WEF berlangsung mulai 20 sehingga 24 Januari di Davos, Switzerland.

“Kehadiran Perdana Menteri di Davos akan mengetengahkan keutamaan, inisiatif serta cabaran dihadapi ASEAN dan rantau ini, termasuk isu bersama seperti perubahan iklim, tenaga boleh baharu, transformasi digital dan pembangunan mampan,” kata Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Datuk Nadzirah Osman.

“Ini turut membuka peluang bagi kerjasama strategik antara ASEAN dan komuniti antarabangsa, termasuk peluang pelaburan serta pembiayaan teknologi bagi rantau itu,” katanya pada sidang media bersempena kehadiran Perdana Menteri di WEF 2025.

Anwar dijadual tiba di Davos pada lewat malam ini selepas lawatan kerja ke Brussels, Belgium.

Sebelum itu beliau turut mengadakan lawatan kerja ke Abu Dhabi dan London.

BACA JUGA: PMX sedang melakar Malaysia di peta dunia yang disokong