PM Anwar berjaya sambung semula rundingan MEUFTA

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menyambung semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia dan Kesatuan Eropah (MEUFTA) hasil lawatan kerja beliau ke Brussels semalam.

Perkara ini diumumkan oleh beliau bersama Presiden Suruhanjaya Eropah Urusula von der Leyen.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata langkah menyambung semula rundingan itu juga menandakan satu pencapaian penting dalam usaha mengukuhkan hubungan ekonomi Malaysia dengan salah satu blok perdagangan terbesar dunia selain mencerminkan komitmen lebih erat dengan Kesatuan Eropah (EU), antara rakan perdagangan dan pelaburan utama bagi Malaysia.

Pencapaian ini juga menggambarkan kekuatan hubungan yang berterusan antara kedua-dua belah pihak dan komitmen bersama dalam memupuk kemakmuran ekonomi.

“MEUFTA dijangka membuka manfaat besar yang merentasi pelbagai sektor ekonomi Malaysia selain mengukuhkan rantaian bekalan global dalam sektor-sektor kritikal.

“Ia berpotensi untuk meningkatkan eksport dari sektor-sektor seperti produk elektrik dan elektronik, minyak sawit dan produk berasaskannya serta peralatan optik dan saintifik ke pasaran EU,” katanya.

MEUFTA berkenaan akan turut menjadi pemangkin dalam menarik pelaburan baharu EU dalam sektor-sektor termaju seperti tenaga hijau dan pembuatan termaju, selaras dengan matlamat pembaharuan industri dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

Pada 2023, EU adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan mencecah RM206.79 bilion.

“Kerajaan Malaysia komited untuk mencapai perjanjian yang seimbang dan menyeluruh kepada semua pihak berkepentingan, di samping memastikan faedah bersama Malaysia dan EU.”

Selain itu, kata PMO, kerajaan akan terus mengadakan libat urus dengan pemain industri dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk memastikan MEUFTA mencerminkan kepentingan nasional dan aspirasi ekonomi Malaysia.

Â