Ramai sibuk pasal OKU kena sepak kepala, MB Pas ini pula sembang pasal kelapa
Menteri Besar Terengganu dihujani kecaman orang ramai termasuk menggesa pemimpin Pas berkenaan menziarahi keluarga seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental yang dibelasah baru-baru ini.
Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi hantaran di platform X mengucapkan tahniah kepada sebuah anak syarikat kerajaan negeri, Golden Pharos Berhad dalam apa yang dianggapnya “proaktif dalam menangani krisis kekurangan bekalan kelapa” di negeri itu.
Naib Presiden Pas berkenaan berkata, masalah bekalan kelapa telah memberi kesan kepada banyak pihak terutama para peniaga yang menjadikan kelapa sebagai bahan asas kepada bisnes mereka.
“Bagi yang berminat untuk membeli secara borong atau runcit, boleh hubungi nombor yang tertera dalam poster tersebut,” kata Samsuri sekaligus mengundang kritikan apabila turut dianggap mempromosi bisnes syarikat menjual kelapa tua biji itu.

Rata-rata mempersoal keprihatinan Menteri Besar Terengganu yang dilihat seperti ‘senyap’ terhadap kejadian sepak terajang dan seret OKU mental di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Kemaman pada Jumaat, 17 Januari lalu.
“Orang sibuk pasal sepak kepala, dia sibuk pasal beli kelapa,” cemuh pengguna X,
@zulk1002.
“Tahniah tahniah jugak, kerja kena jalanlah. Setakat ni, tengok kamu sebagai MB memang paling tak perform,” tegas @orangbumian.
“Kau tak pegi melawat ke OKU yang kena belasah…? Jalan hakis pun senyap saja,” kata @TohSedewaOBJ.
“Turun la tengok keluarga mangsa OKU tu. Kerja bagi kuat sikit. Kalau orang kutuk kan terasa,” ujar pemilik akaun x, @gensai_kuroki.

Menerusi rakaman video tular, sekumpulan lelaki dipercayai peniaga dan pengunjung Pasar Tani Padang Astaka Chukai bertindak melampaui batas kemanusiaan apabila memukul dan menyepak Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47.
Tidak cukup dibelasah beramai-ramai, OKU lima anak berkenaan diseret di atas jalan tar walaupun kedengaran beberapa kali meminta maaf ketika hujan selain dicurahkan mi goreng pada kepalanya.
Ketika Ahmad Nor menghulur kepala di bawah aliran air hujan untuk menghilangkan kesan sakit dan pedih mata dimasuki kuah mi panas itu, seorang lelaki tergamak menyepak tepat di muka sebelum mangsa kembali rebah.
Tambah menyayat hati, mangsa ditendang kuat selepas beberapa saat menyebut sayu, “takpe, Tuhan ada” sekaligus mengingatkan orang ramai kezaliman tersebut tidak ubah seperti kejahatan dilakukan zionis laknatullah yang tidak berhati perut.
Lebih mengejutkan dan menyedihkan apabila pengunjung pasar di tempat kejadian hanya sekadar melihat tanpa menghulurkan apa-apa bantuan kepada OKU ketidakupayaan mental itu.
Keganasan itu dipercayai berlaku selepas mangsa yang menunggang motosikal terlanggar salah sebuah gerai sehingga menyebabkan makanan jualan terjatuh.
Dalam perkembangan berkaitan, seramai lima lelaki berusia di antara 18 dan 60-an telah ditahan setakat ini sejak 18 Januari lalu.
Kesemua mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Dalam masa sama, polis masih lagi mengesan beberapa individu bagi membantu siasatan.
Selain itu, pihak polis turut memanggil seberapa saksi lain untuk diambil keterangan, termasuk ahli keluarga mangsa.
BACA JUGA PMX sedang melakar Malaysia di peta dunia yang disokong
Â