Apa kes sampai Shahrol Shiro buat laporan polis terhadap Harith Iskandar?
Hantaran terbaharu di media sosial oleh pelawak, Harith Iskandar yang cuba membuat jenaka dalam isu ham baru-baru ini mengundang padah.
Satu laporan polis telah dibuat terhadapnya oleh pelawak Shahrol Shiro yang juga ahli Umno.
Selain Harith, Shahrol turut menamakan seorang lagi pengguna Facebook bernama Cecelia Yap yang didakwa mempersenda nama Muhammad dan juga agama Islam.
Dalam hantaran di Instagram, Shahrol memuat naik rakaman video berserta laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kluang, malam tadi.
“Selesai merakam kenyataan di Balai Polis Kluang mengenai isu saudara Harith Iskander. Di dalam ruangan komen, menggunakan nama Cecelia Yap membuat satu komen mengenai nabi junjungan kita, Nabi Muhammad.
“Dia membesarkan (menggunakan huruf besar) perkataan ‘ham’ itu. Saya harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas terhadap isu ini.
“Harith, yang membuka ruang untuk isu ini diperlucu dan dipersendakan. Jangan main-main mengenai isu agama Islam ini,” katanya.
Tinjauan di sosial media, orang ramai turut mengecam tindakan Harith yang dianggap berlebihan dalam membuat jenaka yang tidak sensitif.
Harith sebelum ini memuat naik sekeping gambar menunjukkan segelas kopi dinamakan ham sap kopi berharga RM5.50.
“Saya begitu keliru. Iman saya tergugat. Kopi ini akan membawa saya ke jalan yang salah dalam pelbagai cara”.
“Bukan sahaja menggoda saya untuk menjadi hamsap, tetapi juga membuat saya keliru dengan perkataan ‘ham’ di dalamnya. Ini untuk diminum atau dimakan?
“Saya mesti buat laporan polis kerana saya terlalu lemah sehingga hilang semua kemampuan untuk berfikir secara logik. Siapa lagi yang keliru?”, tulisnya dalam hantaran itu yang disertai emoji tertawa hingga keluar air mata.
Dalam pada itu Polis Kluang mengesahkan satu siasatan sedang dijalankan terhadap Harith berhubung hantaran Facebook terbarunya yang menyentuh kontroversi skandal sandwic “ham”.