NGO rayu kerajaan pertimbang kelonggaran ambil pekerja asing di restoran

FOTO BERITA: Sidang Media bersama PRESMA / PRIMAS membincangkan isu semasa mengenai kekurangan tenaga kerja dalam industri restoran di Impiana Hotel – KLCC, Jalan Pinang, Kuala Lumpur. 22hb Januari 2025 (Rabu)

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) telah mengemukakan rayuan kepada kerajaan untuk memberi kelonggaran dalam pengambilan pekerja asing bagi industri restoran di negara ini. Kedua-dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini mewakili pengusaha restoran nasi kandar dan nasi daun pisang yang beroperasi di seluruh Semdenanjung Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.

Menurut kedua-dua pertubuhan, jumlah restoran yang besar memerlukan tenaga kerja yang ramai, namun kekurangan pekerja tempatan menyebabkan pengusaha terpaksa bergantung kepada pekerja asing. Keadaan ini semakin meruncing berikutan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengarahkan penghentian pengambilan pekerja asing mulai Mac 2024, yang dijangka menjejaskan hampir keseluruhan industri, termasuk perniagaan restoran.

Bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja yang dihadapi, NGO-NGO bekenaan cadangan kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memperkenalkan semula dasar ‘Gantian Pekerja’, yang membolehkan pengusaha menggantikan pekerja asing yang pulang ke negara asal dengan pekerja baharu berdasarkan ‘Checked-Out Memo’ dari kaunter keluar Imigresen. Dasar ini pernah dilaksanakan sebelum ini, namun telah dihentikan oleh kerajaan terdahulu.

Pihak pengusaha juga merayu agar kerajaan mempertimbangkan untuk memperluaskan had umur pekerja asing dari 45 tahun kepada 60 tahun, memandangkan ramai pekerja yang masih sihat dan mampu melaksanakan tugas dengan baik walaupun telah melepasi had umur 45 tahun.

Selain itu, PRESMA dan PRIMAS turut memohon agar pelaksanaan sistem levi berperingkat (multi-tier levy system) ditangguhkan sehingga kekurangan tenaga kerja dapat diselesaikan dan ekonomi negara lebih stabil. Sistem levi yang dicadangkan dijangka akan meningkatkan kos pengambilan pekerja asing, seterusnya membebankan industri kecil seperti restoran dan menyebabkan kenaikan harga makanan.

Kedua-dua pertubuhan berharap agar kerajaan dapat memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap permintaan ini, demi memastikan kelangsungan perniagaan restoran di Malaysia, terutama restoran yang beroperasi 24 jam. PRESMA dan PRIMAS percaya bahawa dengan kelonggaran ini, industri restoran dapat terus berkembang dan memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
