Singa takkan bertengkar dengan lalat, Akmal

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata beliau tidak akan membuang masa bertengkar dengan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Muhammad Akmal Salleh.

“Komen saya mudah, seekor singa takkan bertengkar dengan lalat,” kata Nga yang juga naib presiden DAP, lapor China Press.

“Beliau memegang jawatan berlainan berbanding saya, jadi kita takkan bertengkar,” kata Nga ekoran kritikan Akmal terhadap Nga dalam isu sandwich “ham”.

Kontroversi timbul ekoran sandwich ham & cheese yang dijual di KK Mart dan mempunyai logo halal.

Nga menambah hanya kerana beliau tidak akan membalas serangan Akmal, tidak bermakna DAP akan membisu.

“Untuk setiap kenyataan yang dibuat oleh Akmal, Pemuda Sosial DAP (DAPSY) akan membalasnya. Ia bukan sahaja ketua pemuda tetapi juga setiausaha publisiti yang akan turut mengeluarkan kenyataan.

“Kita tidak membisu. Kita hanya membalas pada kadar berpadanan dengan situasi tersebut,” kata beliau.

“Kritikan Pemuda Umno akan dibalas oleh DAPSY. Sekiranya presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat kenyataan, maka setiausaha DAP Anthony Loke akan membalasnya.”

Nga menambah bahawa Zahid tidak membuat sebarang kenyataan meliar sejak penubuhan kerajaan perpaduan dan menghargainya selaras dengan semangat wasatiyah dalam siasah.

“Tentu parti yang mempunyai sejuta ahli, akan mempunyai sebilangan yang bodoh. Itu normal. Tentu ada campuran baik dan buruk.

Beliau menambah bahawa Umno dan DAP kini sekutu yang perlu bekerjasama demi rakyat.

“Bagaimanapun kita takkan berbuat demikian jika berdepan orang seperti Akmal. Jika tindakan mereka salah, kita akan menjauhkan diri.

“Kalau Akmal berbuat sesuatu yang baik, kita akan puji. Itulah rasional politik dan profesional.”

Kontroversi sandwich ham tersebut menyaksikan ketua DAPSY Woo Kah Leong mendesak Akmal menurunkan suhu politik.

Woo ialah Adun Pasir Bedamar dan Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina di Perak.

BACA JUGA:‘Penat je Mahathir cari duit di belakang almari, rupanya…’

Â