Berat hati balik kampung tiada tol percuma, soalan Pemuda Pas dihujani kecaman

Pemuda Pas Malaysia hari ini dilihat mengundang kecaman orang ramai apabila bertanyakan sama ada netizen “berat hati” untuk balik kampung jika tiada tol percuma pada sambutan Syawal nanti.

Soalan Pemuda Pas itu susulan keputusan kerajaan menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan dan menggantikannya dengan pendekatan yang lebih bersasar.

“Kalau raya tahun ini tiada tol percuma, kalian berat hati tak nak balik kampung nanti?” menurut hantaran di Facebook rasmi sayap pemuda pembangkang itu.

Rata-rata komentar yang menyusul menempelak Pas termasuk berkata, di luar musim perayaan elok pula ahli dan penyokong parti itu menghadiri Muktamar Tahunan Pas Pusat tanpa perlu merintih mahukan tol percuma.

Terdapat juga secara sinis mencadangkan agar mereka yang balik beraya di negeri-negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) membuat tuntutan dengan wakil rakyat masing-masing.

“Sesiapa balik ke Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, boleh claim duit minyak dan tol dengan ketua kampung Pas dan wakil rakyat Pas,” perli pengguna Facebook, Muhamad Nur Ismail.

Dalam masa sama, warganet mempersoal sikap taatkan pemimpin boleh pula diamalkan tetapi ‘berkira’ untuk balik kampung sempena Hari Raya.

“Balik je lah.. Dah kenapa sebab tol kena bayar terus tak nak balik kampung,” kata Nor Asmarina.

“Hari tak raya tiada tol percuma pun sakan balik kampung 15 kali setahun. Janji ada cuti… janji seronok balik jenguk keluarga,” ujar Ruse Elly Nawi.

“Takkan sebab tiada tol percuma jadi berat hati nak balik. Dulu elok saja takda (tol) free. Nak jumpa mak ayah pun kena politikkan,” kata Firdaus Sadri pula.

Dilaporkan, pemberian tol percuma pada musim perayaan mengakibatkan kerajaan terpaksa menanggung pampasan lebih RM35 juta sehari kepada syarikat konsesi tol.

BACA JUGA Tol zaman Najib pun naik, jangan telan dakyah ke ‘laut’

Â