India pun minat belajar dari SPRM
India menyatakan minat mendapatkan khidmat latihan dan kursus antarabangsa yang ditawarkan oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menerusi hantaran di media sosial, SPRM memaklumkan minat itu dizahirkan ketika kunjungan hormat Duta India Ke Malaysia, B N Reddy ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya semalam.
“Kunjungan berlangsung kira-kira satu jam turut memberi fokus kepada pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik mengenai isu rasuah antara kedua-dua negara.
“Azam dalam ucapan alu-aluannya menyatakan penghargaan atas minat pihak Reddy dan mengalu-alukan perkongsian pengalaman serta berhasrat untuk meningkatkan pembabitan SPRM dengan organisasi antarabangsa,” menurut hantaran itu.

Dalam masa sama, Azam berharap hubungan tersebut dapat dizahirkan dengan peluang penganjuran program pada masa akan datang membabitkan kedua-dua negara.
Selain itu, beliau turut menyatakan kesediaan SPRM untuk mengadakan kerjasama bersama termasuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SPRM dengan agensi antirasuah dari India.
Untuk rekod, sepanjang tahun 2024, India telah menyaksikan peningkatan dalam kes rasuah yang dilaporkan.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Biro Penyiasatan Pusat (CBI), terdapat sebanyak 1,250 kes rasuah telah direkodkan iaitu meningkat 15 peratus berbanding 1,087 kes pada 2023.
Daripada jumlah tersebut, sektor perkhidmatan awam di negara itu mencatatkan jumlah kes tertinggi, dengan 60 peratus daripada kes membabitkan pegawai kerajaan.
BACA JUGA Tol zaman Najib pun naik, jangan telan dakyah ke ‘laut’