Cerita skandal baja padi RM1.8 bilion semasa Nafas di bawah PN
Seorang bekas ahli jemaah pengarah Nafas mengimbas kembali bagaimana pasukan mereka melakukan pembaharuan habis-habisan enam tahun lalu di bawah menteri waktu itu, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, dalam tempoh satu tahun sahaja mereka berjaya mengutip hutang sebanyak RM3.1 bilion dan tunai lebih RM800 juta.
Namun katanya ketika pemerintahan Perikatan Nasional (PN) selama 33 bulan, duit menjadi negatif RM400 juta sehingga berlaku skandal baja padi terbesar berjumlah RM1.8 bilion.
“6 tahun lepas kami reform habis-habisan Nafas. Hutang kami kutip RM3.1 bilion dalam masa setahun, tunai dalam RM800 juta lebih.
“1 tahun sahaja kami buat kerja. Semua penyelewengan kami berjaya kesan dan lebih RM50 juta Nafas rugi sebab penyelewengan.
“Naik era PN 33 bulan, duit negatif RM400 juta, dan skandal baja padi RM1.8 bilion. Semalam (kelmarin) SPRM umum bekas pengurus besar Nafas akan didakwa.
“Terima kasih buat arwah Abang Din Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian masa itu bagi kami peluang baiki habis-habisan dulu,” katanya di Facebook.
Terdahulu pada 21 Januari, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengesahkan bekas pengurus besar Nafas bakal dituduh hujung bulan ini berhubung kes rasuah membabitkan pembekalan baja padi bernilai RM1.8 bilion.
SPRM sebelum ini telah membongkar kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di dalam Nafas.
Beberapa siri pembongkaran dilakukan SPRM di sekitar Kuala Lumpur termasuk di ibu pejabat pertubuhan, kementerian dan sembilan syarikat yang mendapat projek berkaitan.
Projek di bawah kementerian itu yang berjumlah RM1.8 bilion dianugerahkan kepada pertubuhan terbabit bagi tempoh 30 bulan bermula 2021 hingga 2023.
BACA JUGA Bekas wartawan malu dengan Melayu kerana politik perkauman pembangkang
Â