AMANAH sebahagian kekuatan Kerajaan Peraduan

Oleh MOHAMAD SABU, Pidato Konvensyen AMANAH

Permulaan ayat ini membawa maksud: “Demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat pertengahan (wasatan) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Nabi Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. ”

  • (Surah al-Baqarah: 143)

Tahun ini, sekali lagi kita berhimpun untuk menunaikan tanggungjawab menyempurnakan Konvensyen Tahunan Parti AMANAH Negara bagi kali ke-9.

Dalam kita mengimbau sejarah penubuhan parti ini yang bermula dengan serba kesederhanaan, hari ini kita harus berbangga Parti AMANAH Negara menjadi sebahagian dari kekuatan Kerajaan Perpaduan yang mendukung mandat dan harapan sekalian rakyat untuk membangun dan memulihkan semula negara, membawa kesejahteraan rakyat dan seterusnya mengangkat Malaysia menjadi sebuah negara yang disegani dunia.

Sesungguhnya kehadiran dan peranan Parti AMANAH Negara tidak boleh dipandang mudah dan kecil, malah kita sebenarnya memikul tanggungjawab besar dalam agenda pembangunan negara bersama Kerajaan Madani pada hari ini.

Saya mengalu-alukan kedatangan seluruh kepimpinan dan perwakilan ke Konvensyen Parti AMANAH Negara 2024 pada hari ini dan mengharapkan agar kita semua dapat menyempurnakan Konvensyen ini dengan teratur dan penuh bermakna. Saya juga mengalu-alukan kedatangan dif-dif kehormat, tetamu-tetamu serta pemerhati yang turut hadir pada hari ini.

BAB 1: POLITIK GLOBAL

1)PERSAINGAN KUASA DUNIA: DARI UNIPOLAR KE MULTIPOLAR

Saudara-saudari yang saya hormati sekalian,

Orang tua-tua selalu berpesan, ‘Bersahabat dengan harimau, biar pandai menjaga diri’. Pepatah ini bermaksud, apabila kita berkawan dengan pihak yang besar atau kuat, kita perlu berhati-hati dan bijak mengatur langkah.

Hari ini, bukan sahaja China yang telah bangkit, malah gergasi-gergasi kuasa dunia dari pelbagai benua – sama ada dari segi ekonomi, ketenteraan dan budaya – juga sedang bangkit, mengubah struktur kuasa global di depan mata kita.

Sebagai negara yang bijaksana, kita harus memanfaatkan kebangkitan ini dengan membina hubungan yang saling menguntungkan.

Dengan jatuhnya Soviet Union pada tahun 1991, Amerika Syarikat telah muncul sebagai kuasa tunggal dunia membentuk kuasa dunia unipolar. Amerika Syarikat menguasai kekuatan ketenteraan, ekonomi dan gaya hidup yang menyebabkan abad ini dirujuk sebagai “Abad Amerika” atau “American Century”.

Amerika Syarikat menguasai kesatuan-kesatuan global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), NATO dan IMF, seterusnya membentuk pengaruh dan norma mereka terhadap dunia samada dalam soal demokrasi liberal, pasaran bebas dan globalisasi. Begitu juga dalam soal ketenteraan, Amerika Syarikat melebarkan pengaruh kuasanya melalui campur tangan ketenteraan di negara-negara Islam dan yang terbaharu di Syria.

Semakin lama Amerika Syarikat berkuasa, kita melihat tata kelola dunia telah banyak menyimpang dari prinsip-prinsip keadilan dan kedaulatan yang sepatutnya ditegakkan. Banyak resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dilanggar tanpa rasa tanggungjawab, menjadikan undang-undang antarabangsa seolah-olah tidak lebih daripada sekadar dokumen yang tiada makna. Ketidakseimbangan kuasa ini bukan sahaja menjejaskan kestabilan dunia, tetapi juga mencabar kredibiliti institusi-institusi global yang kita harapkan untuk melindungi keamanan dan keadilan sejagat.

Namun kini muncul pesaing baru Amerika Syarikat di rantau ini iaitu China. Ekonomi China telah tumbuh berkembang dengan sangat cepat di semua sektor. Perkembangan ekonomi ini didorong oleh Inisiatif Belt and Road (BRI) yang digerakkan oleh China untuk menguasai perdagangan di Asia dan Afrika.

Kita juga melihat konflik yang melibatkan Rusia, Ukraine, dan Kesatuan Eropah telah menjadi isu geopolitik yang kompleks dan mencabar unipolar Amerika Syarikat. Ketegangan berterusan di Ukraine mencerminkan perselisihan yang mendalam mengenai kepentingan strategik dan keseimbangan kuasa di rantau tersebut. Peristiwa ini juga menggambarkan cabaran yang dihadapi dalam mencari penyelesaian damai dan mengekalkan kestabilan antarabangsa di tengah-tengah dinamik kuasa yang berubah.

Dengan tertubuhnya BRICS sebagai sebuah gabungan kuasa politik dan ekonomi baharu, dunia cuba beralih dari kuasa unipolar oleh Amerika Syarikat kepada suatu bentuk order baru dunia yang bersifat multipolar dengan pemain utama seperti China, Rusia, India, Brazil, Afrika Selatan, Kesatuan Eropah dan kuasa-kuasa serantau yang lain.

Dalam menghadapi peralihan ini, Malaysia yang diterajui Kerajaan Madani pada hari ini perlu terus berpegang kepada prinsip kesederhanaan dan berkecuali.

Pendekatan ini selari dengan visi Almarhum Tun Abdul Razak ketika melancarkan Zon Aman, Bebas, dan Berkecuali (ZOPFAN) pada tahun 1971, yang menegaskan pentingnya negara-negara ASEAN memastikan keamanan serantau tanpa campur tangan kuasa-kuasa besar. Prinsip ini harus terus menjadi pedoman, membolehkan Malaysia memainkan peranan sebagai pemangkin dialog, menjalin hubungan erat dengan semua pihak, dan mengekalkan kestabilan di tengah-tengah perubahan landskap geopolitik global.

Malaysia harus memastikan bahawa hubungan kita dengan kuasa-kuasa besar secara berimbang tidak hanya memberi manfaat kepada sektor perdagangan, tetapi juga membuka peluang untuk kerjasama teknologi bagi kemajuan negara.

Dalam diplomasi hubungan antarabangsa, kita perlu berpegang teguh pada prinsip keadilan dan kesederhanaan. Kita harus mengelakkan diri daripada terperangkap dalam persaingan geopolitik yang boleh menjejaskan kestabilan dan kedaulatan negara.

AMANAH menegaskan bahawa Malaysia harus terus berpegang kepada sikap berkecuali yang berprinsip, menggunakan kebijaksanaan dalam berurusan dengan kuasa-kuasa besar, demi memastikan kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara terjamin.

  1. ISU PALESTIN: SOLIDARITI MALAYSIA

Siri pembantaian Israel ke atas rakyat Palestin telah berlangsung begitu lama, sejak peristiwa serangan Israel pada Oktober tahun 2023, angka kematian rakyat Palestin telah mencecah lebih 45,000 nyawa manakala lebih 100,000 mangsa tercedera, di mana sebahagian besar mangsa adalah di kalangan kanak-kanak yang tidak berdosa. Tindakan Israel mengebom penempatan awam dan hospital, menyekat bekalan elektrik, air dan makanan adalah jelas merupakan satu tindakan genosid atau pembunuhan beramai-ramai.

Dunia sedang diuji samada undang-undang dan persepakatan antarabangsa mampu menegakkan nilai kemanusiaan dan keadilan sejagat. Ataupun, ianya hanya wujud sekadar untuk mengawal negara-negara kecil yang bukan sekutu kuasa besar dunia terutamanya Amerika Syarikat.

Pada November lepas, sekali lagi Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto terhadap satu deraf resolusi Majlis Keselamatan PBB bagi menggesa gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal di Gaza. Perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 19 Julai 2024, yang membuat keputusan bahawa penempatan Israel adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa, juga telah ditolak sewenangnya oleh Israel dan dikritik oleh Amerika.

Kita juga maklum satu tuntutan undang-undang yang difailkan oleh Afrika Selatan terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas dakwaan bahawa Israel melanggar Konvensi Genosida 1948 melalui tindakannya terhadap penduduk Palestin di Gaza. Dalam keputusan yang dikeluarkan Oktober 2024, ICJ memerintahkan beberapa ketetapan termasuk menegah Israel dari perbuatan genosida menurut Fasal II Konvensi Genosid dan memerintahkan Israel untuk menghentikan tindakan yang menghalang penyediaan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Juga, pada bulan lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan perintah penangkapan terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu atas dakwaan jenayah perang di Gaza.
Sebarang resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kini seolah-olah kehilangan maknanya apabila kuasa unipolar Amerika Syarikat dan sekutunya dilihat mendominasi PBB serta media antarabangsa. Akibatnya, isu-isu kritikal seperti penderitaan berterusan di Palestin dipandang remeh dan dilaporkan seolah-olah ia hanyalah perkara biasa, tanpa perhatian dan tindakan yang sewajarnya dari masyarakat antarabangsa.

Kita memuji tindakan Kerajaan Madani untuk membentangkan satu draf resolusi di Perhimpunan Agung PBB bagi mencadangkan agar Israel disingkir sebagai anggota PBB. Kita berharap tindakan ini mampu menyokong pembelaan nasib penduduk Palestin dan membuka jalan bagi United Nations Relief and Works Agency for Palestine (UNRWA) meneruskan kerja-kerja kemanusiaan membantu pelarian Palestin di negara-negara jiran.
AMANAH menyokong tindakan proaktif oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang telah menggerakkan usaha diplomasi untuk mengajak negara-negara dunia, khususnya negara-negara Islam, untuk bersama dalam menghentikan kezaliman Israel di Palestin.

Malaysia harus terus menyuarakan pendirian tegas terhadap negara-negara yang masih melibatkan diri dalam hubungan diplomatik dengan Israel. Oleh itu, AMANAH akan terus memperjuangkan solidariti bersama Palestin dan memastikan kita berbuat lebih dari sekadar kata-kata. Kita harus menjadi agen perubahan yang menuntut agar Israel menghentikan kekejaman dan memberi ruang untuk rakyat Palestin mendapatkan kembali hak mereka.

  1. ASEAN: KEPIMPINAN MALAYSIA DAN INTEGRASI SERANTAU

Saudara-saudari yang dihormati,

Malaysia, di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, secara rasmi telah mengambil alih kepengerusian ASEAN 2025 pada 11 Oktober yang lalu. Sebagai Pengerusi ASEAN, negara memiliki tanggungjawab besar dalam memperkukuhkan integrasi serantau dan memastikan keamanan di rantau ini.

Tindakan agresif mana-mana kuasa besar di Laut China Selatan harus ditolak dengan tegas bagi memastikan rantau ini kekal sebagai zon yang aman, stabil, dan bebas daripada sebarang konflik yang boleh menjejaskan kesejahteraan negara-negara serantau ASEAN juga perlu mengambil berat ancaman bukan tradisional ke atas rantau ASEAN seperti soal keterjaminan makanan kesan daripada perubahan iklim dan krisis geopolitik.

Selain itu, cabaran hak asasi manusia yang berlaku di beberapa negara ASEAN, seperti krisis Rohingya, perlu ditangani dengan lebih tegas dan berprinsip. Malaysia harus memainkan peranan penting dalam memastikan bahawa ASEAN tidak berdiam diri terhadap pelanggaran hak asasi manusia, dan bertindak secara kolektif untuk menyelesaikan masalah-masalah yang melibatkan nyawa dan keselamatan rakyat.

AMANAH menyeru agar Malaysia terus menegakkan prinsip keadilan dan kemanusiaan, memastikan ASEAN kekal teguh mempertahankan hak asasi manusia dan memajukan kesejahteraan rakyat di seluruh rantau ini.

BAB 2: POLITIK MALAYSIA

2.1) PENCAPAIAN 2 TAHUN KERAJAAN MADANI: KESTABILAN POLITIK DAN KEMAKMURAN EKONOMI

Dalam setengah dekad yang lepas, negara kita telah melalui ketidaktentuan politik dan kelesuan ekonomi yang sangat mencabar. Kita menyaksikan Malaysia bertukar 3 Perdana Menteri dalam tempoh 3 tahun. Pada masa yang sama, negara bergelut dengan ancaman pandemik yang telah mengorbankan banyak nyawa, menyebabkan aktiviti ekonomi dan sosial terencat.

Alhamdulillah, setelah 26 bulan Kerajaan Perpaduan ini dibentuk, kita dapat mengembalikan kestabilan politik yang menjadi asas paling penting untuk Malaysia bergerak semula ke hadapan.

Demi kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat, kestabilan politik ini mesti dipertahankan. AMANAH mengalu-alukan kematangan dan kebijaksanaaan pemimpin-pemimpin parti pendukung Kerajaan Perpaduan atas komitmen yang diberikan bagi menjamin kestabilan politik dan memacu ekonomi negara.

Hasil dari kestabilan politik ini, negara telah mencapai banyak kejayaan yang membanggakan. Dalam suku kedua tahun 2024, ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dengan KDNK meningkat sebanyak 5.9%. Ini antaranya adalah hasil dari keyakinan yang teguh dari pelabur tempatan dan antarabangsa dan dasar ekonomi yang kukuh.

Dengan usaha keras Perdana Menteri dan MITI, Malaysia telah berjaya menarik minat lebih banyak pelaburan asing ke dalam negara. Untuk setengah tahun pertama tahun 2024, kita telah meraih pelaburan yang diluluskan sebanyak RM160 billion, meningkat 18% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ternyata, negara-negara dunia mula memberikan perhatian dan pengiktirafan kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang bergerak pada landasan yang tepat dalam memacu ekonomi dan halatuju negara.

Hasil dari kestabilan politik ini juga, reformasi ekonomi dapat dilaksanakan. Pelan strategik ekonomi dalam perindustrian baharu, peralihan tenaga, semikonduktor serta dasar-dasar terkini dalam sektor industri hijau, tenaga boleh diperbaharui dan kecerdasan buatan menjadi teras kepada fokus baharu ekonomi negara, tentunya mampu meningkatkan pendapatan negara dan mencipta peluang pekerjaan baharu yang bernilai tinggi.

Kadar inflasi dapat dikawal dengan baik dalam julat antara 2% hingga 3.5%, memastikan kestabilan harga barangan dan perkhidmatan asas yang diperlukan oleh rakyat. Selain itu, kadar pengangguran turun kepada 3.2%, menunjukkan peluang pekerjaan yang semakin terbuka.

Kerajaan juga telah membuat pelarasan gaji penjawat awam dengan kenaikan sebanyak 15% bagi Kumpulan Pelaksana dan Pengurusan, serta 7% bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

Selain itu, kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 mulai 1 Februari 2025 juga menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan golongan berpendapatan rendah dapat menikmati taraf hidup yang lebih baik.

2.2) MENGANGKAT KESEJAHTERAAN RAKYAT: INISIATIF DAN PROGRAM KEMENTERIAN

Saudara dan saudari yang saya kasihi,

Dalam usaha kerajaan meningkatkan kesejahteraan rakyat, Belanjawan 2025 Kerajaan Madani telah memperuntukkan dana yang besar untuk pelbagai inisiatif kebajikan bagi meringankan beban kehidupan dan meningkatkan taraf hidup rakyat. Sebagai contoh, Kerajaan memperuntukkan RM13 billion untuk pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang akan memberi manfaat kepada lebih sembilan juta penerima.

Kerajaan juga telah memperkenalkan inisiatif BUDI MADANI, iaitu bantuan tunai bulanan sebanyak RM200 untuk membantu golongan rakyat, petani dan peladang yang terkesan akibat pelarasan baru subdisi diesel.

Belanjawan 2025 turut memberi penekanan kepada pemerkasaan usahawan dengan bantuan kewangan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah memperuntukkan RM2.78 bilion dalam Belanjawan 2025 untuk subsidi, bantuan, dan insentif kepada pesawah dan nelayan, meningkat daripada RM2.6 bilion pada tahun sebelumnya.
Selain itu, kerajaan meneruskan Elaun Sara Hidup Nelayan sebanyak RM300 sebulan kepada nelayan yang layak, sebagai usaha meringankan beban kos sara hidup mereka.

Peruntukan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan produktiviti sektor agromakanan dan kesejahteraan golongan petani serta nelayan di Malaysia.

Di Kementerian Kesihatan pula ada Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang menyediakan akses kepada pemeriksaan dan penjagaan kesihatan percuma kepada golongan berpendapatan rendah. Skim Perubatan Madani pula menyediakan rawatan secara percuma bagi sakit-sakit ringan untuk kumpulan B40 (iaitu penerima sumbangan STR) di klinik perubatan swasta yang berdaftar dengan KKM bagi program ini.

Pengiktirafan terhadap wira-wira negara dalam Belanjawan 2025 jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam menghargai jasa mereka, terutama melalui peningkatan Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sangat bermakna.

Langkah ini adalah permulaan penting, namun usaha yang lebih menyeluruh masih diperlukan untuk memastikan kebajikan para veteran dan anggota pertahanan terus menjadi keutamaan. Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM dan inisiatif kerjaya kedua adalah bukti komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan kesinambungan kerjaya para wira kita, sambil menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Pada masa yang sama, kejayaan diplomasi pertahanan Malaysia di peringkat global mengukuhkan peranan kita dalam menjamin kestabilan serantau. Oleh itu, saya menyeru kerajaan untuk terus memperkasakan kebajikan anggota pertahanan, termasuk menyediakan perumahan yang lebih selesa, sokongan pendidikan untuk keluarga mereka, dan jaminan masa depan yang lebih cerah. Ini adalah penghormatan yang sepatutnya diberikan kepada mereka yang telah berkorban demi keselamatan dan kedaulatan negara kita.

Di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan Step-Up Financing telah diperkenalkan dengan peruntukan RM10 bilion untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah pertama mereka. Langkahlangkah ini tidak hanya meningkatkan kualiti hidup rakyat, tetapi juga memberikan mereka peluang yang lebih baik untuk memiliki rumah dan mencapai kehidupan yang lebih stabil.

AMANAH menghargai inisiatif-inisiatif kerajaan ini terutamanya di Kementerian yang diterajui oleh Menteri dan Timbalan Menteri AMANAH dan menggesa semua ahli AMANAH yang dilantik memegang jawatan dalam mana-mana agensi kerajaan memberi tumpuan ke arah meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. Kita yakin dengan komitmen ini, kita mampu membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur dan sejahtera yang disebut sebagai Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur.

2.3) PINDAAN PERLEMBAGAAN RUU WARGANEGARA IBU ANAK: KEADILAN UNTUK SEMUA

AMANAH menyambut baik pindaan Perlembagaan Malaysia berkaitan kewarganegaraan anak-anak yang dilahirkan oleh ibu warganegara Malaysia. Pindaan ini selaras dengan Usul Konvensyen AMANAH 2022 untuk memasukkan perkataan 'ibu' dalam Perkara 14(1)(b) Perlembagaan, bagi menghapuskan diskriminasi terhadap ibu warganegara Malaysia. Pindaan ini menggambarkan komitmen kerajaan terhadap keadilan, nilai Rahmatan Lil Alamin, dan memastikan hak anak Malaysia di bawah undang-undang, sekaligus memperkukuh institusi keluarga serta membina masyarakat yang lebih inklusif. 

2.4) REFORMASI NAFAS

Kerajaan mengambil langkah tegas untuk memperkukuhkan sektor pertanian melalui reformasi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), termasuk menggantung perlembagaan NAFAS berkuat kuasa 1 November bagi menambah baik tatakelola dan pengurusan. Langkah ini bertujuan memastikan NAFAS berfungsi lebih cekap, bebas daripada penyalahgunaan kuasa, serta memastikan bantuan kepada petani disalurkan secara adil dan berkesan.

Majlis Penasihat NAFAS yang dipengerusikan oleh Tan Sri Zainal Rahim Seman, mantan KPPA akan merangka struktur baharu NAFAS dengan pendekatan tatakelola yang berintegriti. Dengan reformasi ini, NAFAS dijangka menjadi institusi yang lebih berkesan dalam mendukung industri pertanian dan menjamin keterjaminan makanan negara.

2.5) KELEMAHAN PENGUASAAN EKONOMI MELAYU: MENGATASI CABARAN UNTUK MASA DEPAN

Saudara-saudari yang saya hormati,

Keseimbangan ekonomi di kalangan kaum dalam negara amat penting dalam mewujudkan kestabilan sosial dalam negara kita. Sebagai kaum Bumiputera utama, orang Melayu perlu meningkatkan penguasaan ekonomi untuk mengelakkan wujud prasangka bahawa orang Melayu dipinggirkan dalam pembangunan negara.

Kita berbangga dengan perkembangan mutakhir di mana lebih ramai usahawan Bumiputera Melayu berani menceburkan diri dalam perniagaan terutamanya di kalangan anak-anak muda. Ini dapat dilihat dalam sektor ekonomi gig seperti perniagaan dalam talian, perusahaan kecil dan sederhana dan sektor profesional.

Walau bagaimanapun, kita harus akui bahawa masih terdapat kelemahan dalam penguasaan ekonomi Melayu, terutamanya dalam perniagaan berskala besar dan ekonomi baharu.

Sebagai contoh dalam sektor pertanian, industri durian kini memiliki nilai eksport yang tinggi, terutamanya ke China, dengan jumlah eksport bernilai RM 1.8 billion. Walaupun durian adalah tanaman tradisional Melayu, penglibatan dan penguasaan usahawan Melayu di dalam industri ini amat terhad meskipun mempunyai kelebihan dalam pemilikan tanah dan bantuan kerajaan.

Perubahan sikap adalah elemen terpenting untuk mencapai kejayaan. Dengan mentaliti yang positif, usaha yang gigih, dan kesediaan untuk menerima pembaharuan, sebarang halangan seperti kekurangan modal, teknologi, latihan, dan akses kepada pemasaran dapat diatasi. Hanya dengan perubahan sikap, kejayaan dapat dicapai secara menyeluruh dan berterusan.

Sebagai parti yang memperjuangkan hak ekonomi untuk semua, AMANAH menegaskan bahawa setiap rakyat Malaysia berhak mendapat peluang yang adil. Kita harus memastikan semua petani, tanpa mengira kaum, mendapat akses yang adil untuk bersaing dalam pasaran global.

BAB 3: MASA DEPAN PARTI

3.1) MELANGKAH KE DASAWARSA KEDUA: VISI DAN MISI AMANAH

AMANAH kini memasuki dasawarsa kedua setelah mengharungi 9 tahun era perjuangan yang penuh mencabar. Dengan tekad yang bulat, kita bersedia untuk melangkah ke hadapan dengan visi yang jelas dan misi yang kukuh. Sebagai sebuah parti yang berpegang kepada prinsip Islam sebagai Rahmah Untuk Semua, AMANAH bertekad untuk melaksanakan pemerintahan yang berteraskan tadbir urus yang baik selari dengan tuntutan prinsip amanah, keadilan, kesaksamaan, kecekapan dan ketelusan.

AMANAH akan sentiasa mendukung pendekatan berhikmah, kesederhanaan (wasatiyah), keterbukaan dan mempertahankan prinsip demokrasi dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

AMANAH memperjuangkan politik inklusif dengan memastikan setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, latar belakang, atau agama, diberi peluang yang adil untuk hidup dengan aman dan menikmati kesejahteraan dalam kemakmuran negara. Oleh itu, AMANAH berhasrat untuk menjadi pilihan utama rakyat yang mencari kepimpinan yang berprinsip, bertanggungjawab, dan meletakkan kepentingan bersama di atas segalanya. Dengan misi ini, AMANAH akan terus relevan dan berfungsi sebagai suara rakyat, mewakili keperluan dan harapan semua lapisan masyarakat.

3.2) MENGANGKAT KESEDERHANAAN

Prinsip kesederhanaan atau ‘wasatiyyah’ adalah intipati perjuangan AMANAH. AMANAH menolak sebarang bentuk ekstremisma samada dalam bentuk identiti kaum dan agama. Prinsip Islam menegaskan keadilan, keseimbangan dan menjauhi sikap melampau dalam semua aspek kehidupan, termasuk akidah, ibadah, dan muamalah. Islam yang yang diturunkan sebagai Rahmat Untuk Semua menekankan sifat rahmah, adil, kasih sayang dan toleransi.

Prinsip Kesederhanaan atau “Wasatiyyah” berakar kuat dalam AlQuran dan Sunnah. Al-Quran menggambarkan umat Islam sebagai “Ummatan Wasatan” (umat yang seimbang) seperti yang dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah (2:143):

Prinsip Wasatiyyah sejajar dengan politik kesederhanaan dalam aspek-aspek berikut:

a)Menolak Ekstremisme

Wasatiyyah dan kesederhanaan sama-sama menolak ekstremisme, sama ada dalam kepercayaan, perilaku, atau pemerintahan. Islam melarang sikap terlalu ketat (ghuluw) atau terlalu longgar, kerana kedua-duanya membawa ketidakseimbangan dan kemudaratan kepada masyarakat. Begitu juga, centrist politik menghindari ekstrem seperti autoritarianisme atau anarki, dengan mencari dasar yang memastikan kestabilan dan keadilan.

b)Komitmen kepada Keadilan

Wasatiyyah menekankan keadilan (‘adl), yang merupakan nilai utama dalam pentadbiran Islam dan masyarakat. Politik Kesederhanaan mencerminkan prinsip ini dengan mempromosikan dasar yang adil untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan politik, etnik, atau sosioekonomi. Pendekatan ini bertujuan untuk membela golongan terpinggir sambil memastikan tiada kumpulan yang mendominasi secara tidak adil.

c)Penyelesaian yang Praktikal

Islam menggalakkan penyelesaian praktikal yang membawa manfaat kepada masyarakat tanpa membebankan. Politik Kesederhanaan menggunakan pendekatan yang sama dengan mencari dasar pertengahan yang mampu menangani isu-isu kompleks secara berkesan, menggabungkan idea dari keduadua pihak untuk kebaikan bersama.

d)Keterangkuman dan Kesatuan

Wasatiyyah mendorong keterangkuman dengan menyeru umat Islam untuk membina jambatan dan menyemai keharmonian dalam masyarakat yang pelbagai. Politik Kesederhanaan mencerminkan ini dengan berusaha menyatukan pihak yang bertentangan, menggalakkan dialog, dan memupuk perpaduan berbanding perpecahan.

e)Kepimpinan yang Bermoral dan Beretika

Prinsip Wasatiyyah menyeru kepimpinan yang berasaskan etika, tanggungjawab, dan kebajikan rakyat. Pemimpin Politik Kesederhanaan mencerminkan nilai ini dengan bersikap adil, berintegriti, dan meletakkan kepentingan masyarakat di atas kepentingan peribadi atau parti.

AMANAH bertekad untuk mengangkat dan mempromosi politik dengan nilai kesederhanaan serta menolak sifat melampau atau ekstrem. Oleh itu, AMANAH mengajak semua rakyat Malaysia untuk terus menjunjung prinsip kesederhanaan dan keadilan dalam setiap tindakan dan keputusan demi membina Malaysia yang lebih adil dan harmoni selaras dengan agenda Malaysia Madani.

3.3) MENOLAK EKSTREMISMA AGAMA DAN ASABIYYAH

Saudara dan saudari yang saya kasihi,

Islam sangat menekankan kesederhanaan (wasatiyyah) dan menolak sikap ekstremisme (ghuluw) dalam beragama. Sikap melampau ini dilarang kerana ia boleh membawa kepada ketidakstabilan dalam kehidupan dan melampaui batas yang telah ditetapkan oleh Allah.

Firman Allah yang bermaksud “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu, dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar…”(Surah An-Nisa, 4:171)

Begitu juga Islam melarang umatnya bersikap dengan sikap Asabiyyah. “Asabiyyah” merujuk kepada sikap fanatik terhadap sesuatu kumpulan, bangsa, atau puak sehingga membawa kepada ketidakadilan atau menindas pihak lain. Ini termasuk membela kebatilan semata-mata kerana ia berasal daripada golongan sendiri atau menindas dan merendahkan pihak lain atas dasar perbezaan kaum, agama, pandangan atau keturunan.

Nabi Muhammad bersabda: “Bukan dari kalangan kami orang yang menyeru kepada asabiyyah (fanatik kaum), bukan dari kalangan kami orang yang berperang atas dasar asabiyyah, dan bukan dari kalangan kami orang yang mati atas dasar asabiyyah.”(Hadis Riwayat Abu Daud).

Islam menyeru umatnya untuk meninggalkan sifat ekstremisme dan asabiyyah, sebaliknya menegakkan keadilan, persaudaraan, dan toleransi. Nilai-nilai ini penting dalam membina masyarakat yang harmoni dan saling menghormati.

Malangnya umat Islam di Malaysia masih terbelenggu dengan ekstremisma agama dan asabiyyah. Kecenderungan kepada pendekatan ekstremisma dan asabiyyah makin membarah dengan kempen sentimen dan emosi berbentuk perkauman dan agama, juga dalam soal pendekatan manhaj dalam agama. Banyak yang sewenang-wenangnya bersandar kepada fitnah dan fakta yang memesong, dan akhirnya membentuk persepsi palsu atas nama kaum dan agama.

Kita masih ingat semasa kempen PRU15, anak-anak kecil di sekolah dihasut oleh guru-guru mereka bahawa sekiranya Pakatan Harapan memerintah, pakaian seragam sekolah akan ditukar kepada seluar pendek dan skirt. Kedudukan Islam akan terancam! Juga kempen kononnya ada 1.2 juta pelancong asing dari negara China yang memasuki Malaysia diberikan kewarganegaraan oleh kerajaan Malaysia. Masa depan Melayu terancam!

AMANAH melahirkan kebimbangan terhadap fenomena ekstremisma dan perkauman yang semakin menebal dalam masyarakat Malaysia. Kempen-kempen perkauman disambut dengan emosi dan setiap kesilapan yang dilakukan oleh mana-mana kaum walaupun terpencil dijadikan bahan untuk mencemuh antara kaum dengan kaum yang lain.

Ekstremisma agama dan Asabiyyah kini menjadi musuh utama dalam pembentukan masyarakat Malaysia yang bersatu, harmoni dan sejahtera. Adalah malang bila ada kumpulan dan puak yang tidak bertanggungjawab membawa kempen dan mengapi-apikan semangat ekstremisma agama dan asabiyyah sehingga sanggup mempertikaikan aqidah sesama Islam (amalan takfiri) demi meraih sokongan politik semata-mata.

AMANAH mengalu-alukan langkah kerajaan dalam membendung gejala ekstremisma agama dan asabiyyah melalui penguatkuasaan undang-undang dalam perkara 3R (ras, agama dan raja). AMANAH mencadangkan agar Kementerian Perpaduan Negara diberikan peruntukan khas sewajarnya untuk menggerakkan usaha mendidik masyarakat dalam perkara ini. AMANAH juga menyeru seluruh insitusi masyarakat samada pendidik, agamawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain memperhebatkan usaha untuk menyebarkan mesej kesederhanaan dan menolak ekstremisma dan asabiyyah. AMANAH mengharapkan lebih banyak perbincangan umum, seminar dan diskusi dapat dianjurkan dalam membincangkan bahaya ekstremisma agama dan asabiyyah untuk memahamkan masyarakat dalam perkara ini.

3.4) MEMUPUK NILAI-NILAI MURNI DALAM MASYARAKAT DAN MEMBINA KETAMADUNAN

Saudara dan saudari yang dihormati,

Terkait dengan fenomena masyarakat yang semakin membimbangkan ini. AMANAH berpandangan pentingnya kita menggembleng usaha masyarakat dalam pembinaan nilai-nilai murni ke arah pembinaan masyarakat Malaysia yang bertamadun.

Prinsip Malaysia Madani seharusnya dihayati dengan satu matlamat untuk membina Malaysia yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi dan pembangunan, sejahtera kehidupan rakyatnya, malah dapat membentuk masyarakat yang mendukung nilai-nilai murni dan bertamadun.

Nilai-nilai murni yang saya maksudkan adalah bermula dari sekecilkecil perkara seperti menjaga kebersihan, semangat tolong menolong, kesopanan, sehingga kepada sebesar perkara seperti soal kejujuran dan integriti.

Nilai-nilai murni dirujuk di dalam Islam sebagai akhlak dan Islam sangat menitik berat soal akhlak. Akhlak merangkumi segala sifat mulia yang memandu hubungan seseorang dengan Allah, hubungan sesama manusia dan hubungan dengan alam.
Rasulullah SAW bersabda: إنماَ بعثت لأتممَ مكارمَ الأخلاقَ
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”. (Riwayat Al-Bukhari)

Amanah memuji tindakan Perdana Menteri yang memperuntukkan dana dan mengarahkan penambahbaikan tandas sekolah, menunjukkan keprihatinan terhadap kebersihan yang perlu dipupuk dari peringkat awal. Dalam era media sosial yang terbuka, cabaran membezakan antara kebenaran dan fitnah semakin rumit, dengan kes buli siber yang membimbangkan.

Pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang berakhlak dan bertamadun, bukan hanya melalui kecemerlangan akademik tetapi juga ketinggian nilai moral. AMANAH mencadangkan agar Kementerian Pendidikan mengutamakan pendidikan nilai dan pembinaan tamadun dalam silibus sekolah rendah bagi melahirkan masyarakat bertamadun selari dengan konsep Malaysia Madani.

3.5) MEMPERKUKUH ORGANISASI DAN MEMUPUK NILAI BAIK DALAM AMANAH

Saudara dan saudari sekalian,

Tahun 2025 adalah tahun untuk mempersiapkan AMANAH melangkah ke dekad ke-2 dalam usia perjuangan AMANAH. Atas keperluan ini, parti telah menggagaskan satu usaha transformasi yang diberi nama Projek Transformasi AMANAH atau ProAMANAH yang bermatlamat untuk membentuk AMANAH menjadi sebuah parti yang lebih kukuh dan berkesan, dengan imej politik yang disegani bagi meraih sokongan rakyat yang lebih besar.

Saya mengalu-alukan usaha Kawasan-Kawasan AMANAH menambah bilangan cawangan dan meningkatkan aktiviti dalam masyarakat.

Saya juga mengharapkan dengan wujudnya Akademi Kepimpinan Wawasan AMANAH (AQWAM), AMANAH dapat merancakkan program-program latihan dalam membentuk ahli dan pemimpin AMANAH yang lebih kompeten, bertanggungjawab dan berhemah. AMANAH juga perlu meningkatkan keterlihatan (visibility) AMANAH di dalam media dengan lebih meluas dan setiap aktiviti AMANAH hendaklah dikongsi di platform-platform media terutamanya media sosial.

Saya menyarankan semua pimpinan AMANAH di semua peringkat mestilah bersama dalam masyarakat. Pemimpin-pemimpin AMANAH hendaklah terlibat dengan institusi-instutusi masyarakat seperti jawatankuasa masjid dan surau, PIBG, persatuan penduduk dan NGO setempat.

Saya juga ingin mengingatkan para Yang Berhormat (YB), lantikan-lantikan di pelbagai tempat di kementerian, agensi kerajaan, ahli majlis, ketua kampung dan semua lapisan, untuk terus memegang amanah dengan penuh tanggungjawab. Setiap jawatan yang disandang adalah kesempatan untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Dari YB di Dewan Rakyat, ahli-ahli majlis di peringkat negeri dan daerah, kepada pegawai-pegawai yang dilantik di pelbagai agensi kerajaan, kita semua memikul tanggungjawab besar. Semua lantikan ini harus menjadi teladan dalam memberi perkhidmatan yang cekap dan berintegriti, kerana dengan kuasa yang diberikan, datangnya juga amanah yang mesti dipenuhi dengan sebaiknya demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

Sebagai persediaan menghadapi pilihan raya yang semakin hampir, saya mengarahkan seluruh jentera pilihanraya mengatur persiapan terutamanya dalam menyusun jentera operasi di kerusi-kerusi yang berkemungkinan AMANAH akan bertanding. Pasukan kerja hendaklah dibentuk dengan struktur organisasi yang lengkap. Dengan adanya pasukan ini, operasi awal pilihanraya boleh dimulakan termasuk aktiviti bersama masyarakat, kempen media setempat, program latihan petugas pilihanraya dan penyediaan data pilihan raya.

KESIMPULAN: MEMBINA MALAYSIA YANG LEBIH BAIK UNTUK SEMUA

Saudara-saudari yang saya hormati,

Perjuangan kita bukan sekadar untuk membina sebuah Malaysia yang lebih baik, tetapi untuk memastikan setiap rakyat, tanpa kecuali, menikmati hasil kemajuan negara secara adil dan saksama. Dengan semangat keadilan dan kesederhanaan, kita akan membawa perubahan yang bukan hanya bermakna, tetapi berpanjangan.

Sebagaimana yang ditekankan dalam visi Malaysia Madani, kita berazam untuk membina sebuah negara yang bukan sahaja makmur tetapi juga berintegriti, adil, dan inklusif. Malaysia Madani adalah tentang memberi ruang kepada setiap rakyat, menghargai setiap kaum, agama, dan latar belakang, serta menjamin kesejahteraan rakyat yang berterusan. Dalam kerangka Malaysia Madani, kita akan memastikan bahawa keadilan sosial bukan hanya sekadar impian, tetapi menjadi realiti yang kita nikmati bersama.

Akhir kata saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Sekretariat Konvensyen, Amanah Negeri Selangor, Media Oren, Oren IT, ARiF dan semua pihak yang telah terlibat untuk menjayakan konvensyen ini.

Maka, dengan penuh sukacita, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Konvensyen AMANAH Nasional Tahun 2024. Siiru ala barakatillah.

Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wa barakatuhu.

….

Ini adalah Pidato Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu sempena Konvensyen Nasional AMANAH 2024 yang didakan di Klang pada 25 Januari 2025.

BACA JUGA Gong Xi di Malaysia