Perasuah mana yang dibebas zaman kerajaan Madani?
Plakad terpampang ungkapan, “Bapa Pembebasan Perasuah” dengan karikatur mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Himpunan Rakyat Benci Rasuah di Dataran Merdeka semalam mengundang persoalan banyak pihak.
Antaranya, TikTokers Wan Hadi yang menyifatkan plakad dengan gelaran kepada Perdana Menteri semasa himpunan yang disertai pelajar institut pengajian tinggi (IPT) itu sebagai biadab dan langsung tidak berterima kasih kepada kerajaan.
Beliau turut menjelaskan adalah tidak betul jika tuduhan membebaskan perasuah itu dikaitkan dengan keputusan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
“Perasuah mana yang dibebaskan pada zaman kerajaan Madani? Berikan saya satu nama saja.
“Saya nak ingatkan kembali, kes Datuk Seri Zahid ni ada 87 pertuduhan. Yang tuduh Zahid di mahkamah adalah peguam negara lantikan Mahathir dulu, Tommy Thomas.
“Yang bebaskan Datuk Seri Zahid adalah peguam negara lantikan Mahiaddin Yassin PM kelapan.
“Datuk Seri Zahid lepas bebas daripada 40 pertuduhan rasuah semasa zaman Perikatan Nasional,” katanya menerusi rakaman dimuatnaik di TikTok yang meraih lebih 58,000 tontonan setakat ini.
Terdahulu, tular foto plakad “Bapa Pembebasan Perasuah” yang turut diarak dalam Himpunan Rakyat Benci Rasuah di ibu negara petang semalam.
Menerusi kempen demonstrasi anjuran Sekretariat Rakyat Benci Rasuah itu juga, tersebar di media sosial poster dengan karikatur mengenakan sut tertera ‘lencana’ bernombor ’47’ dan logo MADANI berserta kapsyen, “kerajaan saying koruptor”.

Mengulas lanjut, Wan Hadi menegaskan bahawa mahkamah sudah mengesahkan bukan tandatangan Datuk Seri Zahid pada cek duit terbabit sebaliknya cop daripada pegawai Presiden UMNO berkenaan.
Menurutnya, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Ahmad Zahid pada 4 September 2023 itu juga melibatkan akaun Yayasan Akal Budi yang diasaskan pemimpin itu bukannya menyakau duit kerajaan atau dana awam.

“Tidak ada satu pun daripada 47 kes pertuduhan itu, Datuk Zahid terima rasuah atau makan suapan. Datuk Zahid hanya dituduh AMLA (pengubahan wang haram) berkaitan salah guna kuasa.
“Duit dia sendiri masuk dalam akaun Yayasan Akal Budi milik dia sendiri yang ditubuhkan sejak 1994 untuk pelajar-pelajar tahfiz.
“Tahun lepas kita pun tahu tersebar satu memo daripada AGC (Jabatan Peguam Negara), memo itu sahkan AGC tiada bukti kukuh untuk mendakwa Datuk Zahid.
“Kes Datuk Zahid juga bukan sakau duit kerajaan, dana awam untuk kerja-kerja amalnya tapi Yayasan Akal Budi milik Datuk Zahid ini tanggung kos pelajar-pelajar tahfiz di Melaka, Perak.
“Apa sebab nak gelarkan Datuk Seri Anwar Bapa Pembebasan Perasuah?
“Zaman Pas-PN dulu ada 156 kes mahkamah digugurkan zaman itu. Kenapa kau (penyokong PN) tak letak muka Mahiaddin Yassin, Ismail Sabri sama?” tempelak Wan Hadi lagi.
BACA JUGA Gaji, elaun pemimpin di SG4 tidak mahu kalah
Â